TASEK GELUGOR, 23 Jun — Kerajaan negeri Pulau Pinang sedang berusaha membantu pengeksport durian tempatan menangani lambakan raja buah yang berlaku berikutan kekangan untuk mengeksport ke pasaran luar negara.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Keusahawanan dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Rashidi Zinol, berkata beliau sendiri telah mengadakan beberapa pertemuan dengan Persatuan Usahawan Durian Pulau Pinang bagi membincangkan isu ini, termasuk cabaran logistik dan kos pengangkutan yang tinggi.
Lambakan Durian Akibat Kekangan Eksport
“Ada lambakan kerana sebahagian durian yang hendak dieksport menghadapi kekangan pengangkutan dan sebagainya. Dalam perbincangan saya dengan pengeksport terlibat, kosnya juga agak tinggi.
“Kemudian, sebenarnya durian adalah bermusim dan kali ini musim durian serentak atau kita boleh katakan buah gugur pada masa yang sama, jadi bekalan banyak dan pasaran meningkat dengan ketara. Ada yang untung dan ada yang tidak untung banyak. Untung bukan rugi,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Pra-Pelancaran Ekspo Perda (Pakar) 2026 di Midtown Perda, Kubang Menerong di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Perda, Datuk Dr Shaik Hussein Mydin.
Harga Durian Jatuh, Pengguna Untung
Rashidi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai aduan usahawan durian berikutan harga raja buah yang jatuh akibat lambakan buah tersebut di Pulau Pinang pada masa ini.
Beliau berkata kerajaan negeri bersama Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang sedang berbincang untuk membuka lebih banyak ruang kepada pengeksport yang menghadapi halangan dalam membawa produk durian tempatan ke pasaran luar negara.
Antara cadangan yang dikemukakan ialah penggunaan laluan darat bagi tujuan eksport, tetapi kaedah itu memerlukan penelitian kerana melibatkan masa perjalanan yang lebih lama dan keperluan mengekalkan kualiti buah.
Cadangan Eksport Melalui Darat
“Jika mengeksport melalui darat, masa perjalanan boleh mengambil masa sehingga empat hari, jadi buah yang digunakan mestilah segar dan perkara ini memerlukan kelulusan kerajaan serta perbincangan lanjut dengan jabatan berkaitan bagi memastikan kualiti durian Pulau Pinang terus terpelihara,” katanya.
Beliau berkata walaupun keadaan lambakan itu memberi manfaat kepada pengguna kerana harga durian lebih rendah, kerajaan negeri tetap komited dan memainkan peranan dalam membantu pemain industri, terutamanya pengeksport dan petani.
Pengeluaran Durian Sukar Dianggarkan
Mengulas mengenai pengeluaran durian tahun ini, Rashidi berkata beliau masih menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Pertanian berhubung jumlah pengeluaran dan sasaran eksport bagi 2026, tetapi menjelaskan bahawa pengeluaran durian sukar dianggarkan dengan tepat kerana bergantung kepada faktor bermusim dan hasil setiap ladang yang berbeza.
“Durian berbeza dengan tanaman seperti padi, yang pengeluarannya boleh diukur secara lebih sistematik. Sesetengah ladang mengeluarkan hasil dan ada yang tidak, tetapi tahun ini kebanyakan ladang mengeluarkan buah,” katanya, sambil menambah musim durian di Pulau Pinang dijangka berterusan sehingga awal Ogos.
— Bernama



