KUALA LUMPUR, 2 Julai — Kerajaan telah menubuhkan jawatankuasa kerja khas dan kumpulan teknikal bagi menangani jenayah penipuan dalam talian atau scam pada 18 Jun lalu, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Madani berkata penubuhan itu berikutan retret Kabinet yang membincangkan peningkatan kes jenayah seumpama itu, dan mesyuarat pertama jawatankuasa kerja akan diadakan tidak lama lagi dengan penglibatan pelbagai kementerian, agensi dan jabatan.
Pendekatan rentas agensi
Fahmi berkata pendekatan rentas agensi ini bertujuan memperkukuh penguatkuasaan, undang-undang dan siasatan bagi meningkatkan keselamatan pengguna di platform digital.
“Ini akan melibatkan pelbagai kementerian, agensi dan jabatan. Dan, buat pertama kalinya, sektor perbankan, sektor telekomunikasi dan platform utama, termasuk media sosial, juga akan terlibat.
“Ini adalah langkah proaktif kerajaan untuk mengenal pasti isu dan menguruskannya, sama ada dari segi penguatkuasaan, perundangan dan juga siasatan, supaya rakyat Malaysia dapat lebih selamat apabila menggunakan platform digital,” katanya pada sidang akhbar mingguan di Angkasapuri hari ini.
Strategi dirahsiakan
Menjelaskan lanjut, Fahmi berkata kerajaan menjangkakan beberapa perkembangan positif akan dicapai dalam jangka masa terdekat berikutan penubuhan jawatankuasa itu. Namun, beliau berkata kerajaan tidak boleh mendedahkan semua strategi yang dibincangkan bagi mengelakkan ia diketahui pihak tidak bertanggungjawab.
“Ya, kami jangkakan dalam masa terdekat, beberapa perkara dapat ditangani. Saya tidak boleh bercakap terlalu terbuka kerana mereka yang menonton mungkin juga termasuk penipu,” katanya.
Keberkesanan sebelum ini
Fahmi berkata pendekatan rentas agensi sebelum ini pernah digunakan untuk menangani jenayah seksual kanak-kanak dan terbukti berkesan melalui beberapa operasi khas.
“Jadi, dengan penubuhan jawatankuasa kerja ini, kami menjangkakan tindakan yang lebih tegas, pantas dan menyeluruh boleh diambil terhadap penipu,” katanya.



