Radio Televisyen Malaysia (RTM) pagi ini meraikan pembukaan Piala Dunia FIFA 2026 melalui satu majlis penyiaran di Angkasapuri, Kuala Lumpur, yang menghimpunkan pengamal media, penaja, pemain industri dan peminat bola sepak.
Majlis Tayangan Langsung
Acara tersebut turut menampilkan tayangan langsung upacara pembukaan Piala Dunia FIFA 2026 dan perlawanan pembukaan antara Mexico dan Afrika Selatan, yang turut meriahkan suasana kejohanan dalam semangat muhibah dan perpaduan.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Ketua Pengarah Penyiaran Ashwad Ismail, Duta Mexico ke Malaysia Luis Javier Campuzano dan Pemangku Kuasa Usaha Suruhanjaya Tinggi Afrika Selatan ke Malaysia Alleta Maseko.
Siaran Langsung 104 Perlawanan
Sebagai Penyiara Rasmi kejohanan, RTM akan menyiarkan kesemua 104 perlawanan Piala Dunia FIFA secara langsung menerusi Okey dan Sukan+, TV1 dan TV2, sambil turut menyediakan liputan komprehensif melalui program Grandstand, analisis perlawanan, sorotan harian dan pelbagai kandungan khas sepanjang kejohanan.
RTM dalam satu kenyataan berkata komitmen itu mencerminkan peranannya sebagai penyiar awam dalam memastikan kandungan sukan bertaraf dunia kekal diakses oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang atau lokasi.
“Keupayaan untuk menyiarkan kesemua 104 perlawanan kepada penonton telah dimungkinkan melalui sokongan padu dan sinergi penaja kami, iaitu Unifi TV, selain RTM sebagai Penyiara Rasmi, serta CelcomDigi, Unifi dan UMobile sebagai Penaja Penyiaran, mencerminkan komitmen sektor korporat menyokong usaha murni kerajaan,” tambahnya.
Jadual Perlawanan Utama
Sepanjang peringkat awal kejohanan, RTM turut menjadualkan beberapa perlawanan utama di Sukan+ dan Okey, termasuk perlawanan pembukaan antara Mexico dan Afrika Selatan pagi ini, kedua-dua perlawanan separuh akhir pada 15 dan 16 Julai (2 pagi waktu Malaysia), perlawanan penentuan tempat ketiga pada 19 Julai (4 pagi), dan perlawanan akhir pada 20 Julai (1.30 pagi).
Selain siaran televisyen, orang ramai boleh mengikuti kejohanan melalui platform digital RTM, termasuk tiga saluran RTMKlik - FIFA WC1, FIFA WC2 dan FIFA WC3 - yang tersedia sepanjang pertandingan.
Versi baharu RTMKlik kini juga tersedia melalui kemas kini ke versi 4.0.5, menawarkan pengalaman tontonan yang dipertingkatkan dan akses kepada kandungan serta saluran terkini.
Aktiviti Interaktif
Acara itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti interaktif, termasuk 360 Photo Booth, bola sepak jalanan, trak makanan, permainan dan kuiz yang dianjurkan oleh rakan strategik dan penaja. — Bernama



