PETALING JAYA: Pemain perseorangan kebangsaan Lee Zii Jia gagal mara ke pusingan kedua Terbuka Australia selepas tewas di pusingan pertama. Pemain ranking ke-64 dunia itu tewas kepada pemain Taiwan, Lee Chia Hao, yang berada 30 anak tangga di atasnya, dengan skor 13-21, 22-24 dalam masa 36 minit di Quayside Arena, Sydney petang tadi.
Zii Jia sebelum ini berjaya melepasi pusingan kelayakan untuk memasuki pusingan utama. Ini adalah kali keempat pemain Malaysia itu tersingkir di pusingan pertama dalam lapan kejohanan yang disertainya sejak kembali beraksi pada Januari lalu. Dalam tempoh tersebut, beliau hanya berjaya mara ke suku akhir sebanyak dua kali dan tewas di pusingan 16 pada kejohanan lain.
Zii Jia, yang pernah menduduki ranking kedua dunia dua tahun lalu, dijadualkan untuk beraksi di Terbuka Macau, Terbuka AS dan Terbuka Kanada bermula minggu depan hingga awal Julai.
Justin Hoh mara ke pusingan 16
Sementara itu, pemain perseorangan lelaki negara Justin Hoh berjaya mara ke pusingan 16 Terbuka Australia selepas menewaskan pemain India, Kiran George. Justin yang ranking ke-47 dunia mengambil masa lebih sejam untuk menewaskan pemain ranking ke-50 dunia itu dengan skor 21-19, 14-21, 21-15.
Beliau akan berdepan pemain Ireland ranking ke-24 dunia, Nhat Nguyen, pada pusingan kedua esok.



