BAM rombak ganda lelaki untuk LA2028: Soh Wooi Yik dengan Man Wei Chong, Aaron Chia bersama Aaron Tai
BAM rombak ganda lelaki untuk LA2028: Soh Wooi Yik dengan Man Wei Chong

KUALA LUMPUR, 11 Jun — Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini mengumumkan rombakan besar dalam skuad ganda lelaki negara, dengan beberapa pasangan sedia ada dipecahkan dan digabung semula dengan rakan baharu dalam usaha mengenal pasti kombinasi terkuat menjelang kelayakan Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028) tahun depan.

Perubahan ketara dalam pasangan ganda lelaki

Antara perubahan paling ketara ialah Soh Wooi Yik, yang akan berganding dengan Man Wei Chong untuk Terbuka Jepun yang dijadualkan pada Julai. Bagi kejohanan seterusnya — Terbuka China, Terbuka Korea dan Terbuka Taiwan — BAM turut memperkenalkan beberapa pasangan baharu yang melibatkan pemain negara.

Aaron Chia akan berganding dengan Aaron Tai, manakala Tee Kai Wun akan berpasangan dengan Yap Roy King. Sementara itu, Wan Arif Wan Junaidi akan bergabung dengan Khang Kai Xing, manakala pasangan Wooi Yik dan Wei Chong juga dikekalkan untuk ketiga-tiga kejohanan tersebut.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Bagi acara jelajah Eropah yang dijadualkan pada Oktober, Aaron Chia akan digandingkan dengan Kai Wun.

Keputusan berani demi emas Olimpik pertama

Pengarah Kejurulatihan Ganda, Rexy Mainaky, berkata keputusan ini dibuat untuk mengukuhkan usaha Malaysia meraih pingat emas Olimpik pertama dalam badminton.

“Kami berharap pasangan sementara ini bukan sahaja menghasilkan lebih banyak kombinasi ganda yang kukuh, tetapi juga menyediakan kami untuk LA2028. Pada LA2028, kami tidak bercakap tentang sekadar memenangi pingat, tetapi membuat kejayaan untuk meraih pingat emas di Olimpik. Saya telah berbincang dengan Herry (ketua jurulatih ganda lelaki Herry Iman Pierngadi) dan Datuk Seri Lee Chong Wei, dan kami perlu berani membuat perubahan dalam pasangan,” katanya dalam video yang dikongsikan oleh BAM hari ini.

Kriteria pemilihan pasangan baharu

Mengulas mengenai pemilihan pasangan baharu, Rexy berkata kombinasi itu dibentuk berdasarkan keperluan khusus pemain masing-masing. “Apabila membuat keputusan, kita tidak boleh melihat hanya kepada seorang individu, tetapi bagaimana keperluan setiap pemain saling melengkapi dalam satu pasangan. Itu antara kriteria yang kami pertimbangkan sebelum membentuk pasangan ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menambah bahawa pasangan yang baru dibentuk mungkin akan terus berubah kerana masih dalam fasa penilaian. “Pada peringkat awal, kita tidak boleh mengharapkan hasil yang sempurna serta-merta. Tetapi jurulatih boleh menilai sama ada sesuatu pasangan itu menunjukkan potensi untuk masa depan,” katanya.

Rombakan mungkin melibatkan ganda wanita dan campuran

Pada masa sama, Rexy tidak menolak untuk menggunakan pendekatan serupa dalam jabatan ganda wanita dan ganda campuran. “Kenapa tidak? Sudah ada perbincangan dengan Rosman Razak (ketua jurulatih ganda wanita) dan Nova Widianto (ketua jurulatih ganda campuran). Kita tidak perlu takut untuk membuat perubahan kerana ini bukan sekadar eksperimen, tetapi keputusan berdasarkan pemerhatian jurulatih terhadap kemampuan dan keserasian pemain dalam latihan dan pertandingan,” katanya. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga