Seorang wanita didenda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah membuat dan menghantar komunikasi berunsur kesat yang menghina Islam tiga tahun lalu.
Hukuman dan pertuduhan
Hakim Ilmami Ahmad menjatuhkan hukuman denda tersebut terhadap Yeo Li Yin, 48, yang bekerja secara sambilan dalam industri kreatif, dan memerintahkan dia menjalani hukuman penjara 10 bulan jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, Yeo didakwa membuat dan menghantar komunikasi berunsur kesat dengan niat untuk mengganggu orang lain melalui Twitter (kini dikenali sebagai X) menggunakan nama profil “Liyin Yeo” pada 19 Jun 2023. Kandungan itu kemudiannya dilihat di Bukit Aman pada 2.15 petang, 22 Jun 2023.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dihukum di bawah subseksyen 233(3) akta sama dengan denda maksimum RM50,000, penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya, dan denda tambahan RM1,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas sabitan.
Rayuan pengurangan denda
Timbalan Pendakwa Raya Nursyuhada Husna Sulaiman memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai supaya tidak melakukan perbuatan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
Bagaimanapun, peguam bela Ruzaini Zulkifli merayu supaya mahkamah mengenakan denda minima, dengan menyatakan anak guamnya menyesali perbuatannya dan perlu menjaga ibu bapanya. “Anak guam saya juga telah berjanji tidak akan mengulangi kesalahan dan telah menutup akaun tersebut,” katanya.



