Suspek serah diri selepas langgar lari maut penunggang motosikal di Jalan Tun Razak
Suspek serah diri langgar lari maut motosikal di HKL

KUALA LUMPUR, 6 Julai — Polis menahan seorang pemandu yang disyaki terbabit dalam kemalangan langgar lari yang mengorbankan seorang penunggang motosikal di Jalan Tun Razak, berhampiran Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada jam 6 pagi semalam.

Mangsa maut di tempat kejadian

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati penunggang motosikal lelaki berusia 29 tahun yang menunggang Yamaha 135LC dipercayai telah dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta.

“Mangsa terjatuh ke atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah di kepala akibat perlanggaran itu. Dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh seorang penolong pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Pemandu serah diri

Mohd Zamzuri berkata, pihak polis kemudiannya mengesan kereta yang terlibat, iaitu sebuah kenderaan 'sambung bayar' yang digunakan oleh pemandu pada masa kemalangan itu.

Beliau menambah, pemandu lelaki berusia 30 tahun itu secara sukarela menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Trafik Kuala Lumpur sekitar jam 6.30 petang sebelum ditahan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Suspek telah menjalani ujian breathalyser dan saringan awal air kencing. Kedua-dua ujian mendapati negatif bagi alkohol dan dadah,” katanya.

Polis mohon bantuan orang ramai

Mohd Zamzuri menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau balai polis berhampiran untuk membantu siasatan. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga