Seorang lelaki maut selepas terjun dari jejambat sebaik kenderaan dipandunya terbabit kemalangan ketika dikejar polis di Jalan Pantai Dalam, malam tadi. Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata kejadian kira-kira 7.45 malam apabila anggota Unit Rondaan Bermotosikal (MPV) Balai Polis Petaling Jaya mengejar sebuah Proton Wira disyaki terlibat kegiatan jenayah.
Kejadian bermula dari Lebuhraya NPE
Polis mengejar kenderaan suspek bermula dari Lebuhraya NPE berhampiran Tol Taman Dato Harun, sebelum berakhir di Jalan Pantai Dalam kira-kira 9.50 malam. Menurut Fadil, Proton Wira dipandu seorang lelaki tempatan yang masih belum dikenal pasti identiti melanggar Perodua Axia yang sedang bergerak di lorong sama.
“MPV polis kemudian mengambil tindakan menghalang Proton Wira itu sehingga berlaku pelanggaran pada bahagian sisi kenderaan polis,” katanya dalam kenyataan. Selepas kenderaan itu berhenti, pemandu Proton Wira terbabit keluar dan dipercayai terjun dari jejambat. Suspek kemudian ditemukan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mayat dihantar ke PPUM untuk bedah siasat
Mayat dihantar ke Unit Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat, manakala kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Pemandu Perodua Axia berusia 30 tahun dan anggota polis berusia 38 tahun yang memandu MPV tidak mengalami kecederaan.
Dua penumpang lelaki yang berada dalam Proton Wira masing-masing berusia 29 dan 31 tahun, dengan seorang daripadanya patah kaki kanan dan menerima rawatan di PPUM. Seorang lagi tidak cedera dan ditahan bagi membantu siasatan.
Polis rampas dadah dan kesan penumpang dikehendaki
Pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menemukan satu beg mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu dan pil kuda. “Saringan air kencing ke atas salah seorang suspek yang ditahan didapati positif methamphetamine. Semakan turut mendapati kedua-dua penumpang mempunyai beberapa rekod jenayah dan kesalahan dadah lampau, manakala seorang daripada mereka dikesan sebagai orang dikehendaki,” kata Fadil.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



