KOTA BHARU, 8 Mei — Dua remaja yang ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang pelajar kolej wanita, yang ditemukan dengan 61 kesan tikaman di Kampung Simah, Ketereh pada 1 Mei lalu, telah direman selama tujuh hari lagi.
Perintah reman terhadap dua suspek berusia 19 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Rais Imran Hamid di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Lebih awal, kedua-dua suspek tiba di mahkamah pada pukul 8.50 pagi dengan memakai pakaian lokap, bergari dan dikawal oleh anggota polis.
Kedua-dua suspek sebelum ini telah direman selama tujuh hari, yang berakhir hari ini, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian pada 1 Mei, mayat pelajar kolej wanita itu ditemukan dengan 61 kesan tikaman di jalan berhampiran sawah padi di Kampung Simah, Ketereh. Dia dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan tersebut.
Berikutan kejadian itu, empat suspek berusia antara 19 hingga 66 tahun telah ditangkap untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Namun, dua individu warga emas, termasuk seorang wanita, telah dibebaskan selepas direman selama tiga hari. — Bernama



