PETALING JAYA: Seorang remaja warga asing cedera parah akibat dikelar di leher dengan pisau di rumah sewanya di Kampung Tuntuluk dekat Penampang, hari ini. Gadis berusia 16 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di dalam tandas rumah tersebut oleh pemiliknya.
Kejadian Kira-Kira 12.30 Tengah Hari
Menurut laporan, kejadian dipercayai berlaku setelah mangsa didatangi suspek yang dipercayai kenalannya ketika sedang bersendirian menjaga anak kakaknya. Pemilik rumah sewa yang enggan dikenali berkata, beliau dihubungi oleh salah seorang penyewa yang memintanya segera pergi ke kediaman yang terletak bersebelahan rumahnya.
“Sebaik saja menghampiri rumah itu, saya nampak seorang lelaki berlari menaiki bukit di hadapan rumah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. “Ketika itu, saya tidak mengesyaki apa-apa. Namun apabila masuk ke dalam rumah, saya nampak mangsa terbaring di tandas dalam keadaan berlumuran darah.”
Tindakan Pemilik Rumah
Beliau berkata, sebaik sahaja menemui mangsa, beliau menghubungi kakak mangsa dan seterusnya pihak berkuasa. Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut. Difahamkan, mangsa tinggal bersama kakaknya di rumah sewa itu sejak kira-kira tiga tahun lalu.
Pengesahan Polis
Sementara itu, Ketua Polis Penampang Sammy Newton mengesahkan mangsa ditemui tidak sedarkan diri dan cedera pada bahagian leher. Beliau berkata, pasukan polis termasuk Unit Forensik, IPK Sabah, sedang menjalankan siasatan lanjut di lokasi. Sehubungan itu, katanya, pihaknya sedang mengesan seorang lelaki dalam lingkungan usia 30an bagi membantu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang Hairie Awang Akub menerusi talian 016-8032849.



