Polis Tumpaskan Sindiket Curi Kabel di Shah Alam, Tahan Enam Lelaki
Polis Tumpaskan Sindiket Curi Kabel, Tahan Enam Lelaki

SHAH ALAM, 11 Mei — Polis berjaya menumpaskan sindiket curi kabel selepas menahan enam lelaki dalam satu siri operasi di sekitar Lembah Klang dari 4 Mei hingga semalam.

Operasi Tangkapan

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Ramsay Embol, berkata operasi itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dengan kerjasama pelbagai unit selepas insiden kecurian kabel Telekom Malaysia (TM) di Seksyen 2 di sini tular di platform media sosial.

“Kesemua suspek yang berumur antara 26 dan 40 tahun ditahan dalam operasi enam hari dari 4 hingga 9 Mei, di mana pemeriksaan mendapati mereka mempunyai antara tujuh dan 31 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan semasa tangkapan juga mendapati empat ahli kumpulan itu positif Amphetamine dan Methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Rampasan Barang

Dalam serbuan yang sama, beliau berkata polis turut merampas sebuah kenderaan Nissan Navara dan pelbagai alat yang digunakan oleh suspek untuk memotong kabel di tempat kejadian, selain tiga gulung kabel milik syarikat telekomunikasi itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi pegawai penyiasat jenayah IPD Shah Alam, Inspektor Mohammad Amirul Zulkifli di 012-5583436 bagi membantu siasatan. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga