Polis akan meneruskan siasatan terhadap seorang lelaki yang didakwa menyiarkan kandungan fitnah tentang seorang tok batin Orang Asli yang dikaitkan dengan penemuan pendaki Jaslinda Saludin, walaupun dia sudah memohon maaf secara terbuka.
Ketua Polis Daerah Tapah, Abdul Malik Hasim, berkata siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penyalahgunaan kemudahan rangkaian.
Beliau berkata sebanyak 11 laporan polis telah dibuat terhadap lelaki itu oleh pelbagai pihak, termasuk sekumpulan tok batin.
“Kami akan merakamkan keterangan lelaki itu tidak lama lagi dan mendapatkan pengesahan rasmi daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenai beberapa perkara, termasuk kandungan video itu,” katanya dipetik Bernama hari ini.
Lelaki itu telah memohon maaf secara terbuka di TikTok semalam kerana menuduh tok batin Kampung Lubuk Gaharu, Asmmadi Abdullah, menyembunyikan Jaslinda sebelum dia ditemui pada Sabtu lepas.
Siaran TikTok oleh pengguna @jokerspillthetea77 juga menyatakan bahawa Asmmadi mungkin telah mengahwininya sekiranya kehilangannya tidak diketahui ramai.
Jaslinda, 49, yang dilaporkan hilang semasa mendaki di Gunung Batu Putih pada 24 Mei, ditemui selamat oleh seorang penduduk Orang Asli berhampiran Kampung Lubuk Gaharu di Pos Musoh pada Sabtu lepas.
Dia dilaporkan memulakan trek Trans Spencer Chapman pada jam 2 pagi 23 Mei, bersama 13 pendaki lain dan dua perunding hutan.



