Polis menahan seorang lelaki berusia 50-an pada Sabtu lepas bagi membantu siasatan kesalahan rogol terhadap anak perempuannya yang berusia 15 tahun di Setiu, Terengganu.
Laporan polis dibuat pada 15 Jun
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Zahril Asri Zain, berkata suspek ditahan sekitar jam 6 petang selepas mangsa membuat laporan polis pada jam 3.54 petang, 15 Jun lalu.
Menurut laporan, mangsa berada di rumah bersama adik perempuannya ketika bapanya memanggilnya masuk ke bilik tidur kira-kira jam 12 tengah hari pada 29 Mei lalu.
"Bapa mangsa didakwa melakukan rogol ke atas mangsa dan mengugut supaya tidak memberitahu sesiapa mengenai kejadian itu," kata Zahril seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.
Rogol sejak umur enam tahun
Zahril berkata kejadian itu dipercayai bukan kali pertama, malah suspek dikatakan telah melakukan perbuatan terkutuk itu sejak mangsa berusia enam tahun. Akibatnya, mangsa mengalami tekanan perasaan dan trauma.
Mahkamah Majistret Setiu telah mengeluarkan perintah reman tujuh hari terhadap suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang berkaitan dengan rogol sumbang mahram.



