Polis Tawau bongkar pusat latihan penipuan saham palsu sasar warga Korea Selatan
Polis Tawau bongkar pusat latihan penipuan saham palsu sasar warga Korea

Polis Tawau tumpaskan sindiket penipuan pelaburan saham palsu

TAWAU, 8 Mei — Polis membongkar sindiket pelaburan saham dalam talian palsu yang menyasarkan warga Korea Selatan dengan menahan 28 warga asing, termasuk dua wanita, di Bandar Sri Indah di sini semalam.

Ketua Polis Tawau ACP Jasmin Hussin berkata sindiket itu dipercayai memasuki Sabah untuk menjalankan aktiviti penipuan menggunakan pelbagai platform pemesejan segera.

“Suspek terdiri daripada 27 warga China dan seorang warga Vietnam berusia antara 21 hingga 51 tahun. Lokasi yang diserbu adalah sebuah rumah yang digunakan sebagai tempat tinggal, tempat kerja, dan pusat latihan sindiket.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Dalam serbuan, polis merampas 33 telefon bimbit, tiga komputer riba, dan dua modem internet bernilai kira-kira RM50,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Jasmin berkata semua suspek direman selama empat hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 120B kerana konspirasi jenayah.

“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti peranan khusus mereka yang ditahan, rangkaian sindiket, jumlah mangsa, dan kerugian yang ditanggung,” tambahnya.

Jasmin menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati terhadap panggilan telefon yang mencurigakan dan mengesahkan semua maklumat sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga