Polis Tangkap Suspek Kes Surau Ampang
SHAH ALAM, 26 April — Polis telah menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes yang melibatkan dakwaan ingkar titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkaitan pelaksanaan solat Jumaat dan azan di sebuah surau di Ampang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata suspek lelaki berusia 46 tahun itu ditahan di Pandan Indah, Ampang, kira-kira jam 3 petang hari ini. Polis turut merampas sebuah komputer riba, telefon bimbit dan beberapa dokumen untuk siasatan lanjut.
“Hasil pemeriksaan mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan air kencing negatif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya yang boleh mengganggu siasatan atau menjejaskan ketenteraman awam.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan provokasi atau menjejaskan keharmonian di negeri ini,” tegasnya.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sebelum ini, polis meletakkan nama seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam isu petisyen azan Ampang dalam senarai pantau khas bagi menghalangnya daripada keluar negara. — Bernama



