Polis menahan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun bagi membantu siasatan nahas lima kenderaan yang mengorbankan lima orang dan mencederakan lapan yang lain di Kluang, Johor, semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Bahrin Noh, berkata suspek yang memandu Mercedes-Benz E240 itu dipercayai berlumba dengan abangnya, Goh Yi Sheng, 22, yang memandu BMW.
Dalam nahas pada pukul 1.19 petang di Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam itu, Goh hilang kawalan ke atas BMWnya, melintas ke laluan bertentangan dan merempuh sebuah Perodua Alza, Toyota Vios, Proton Wira 1.5, dan Mercedes-Benz yang dipandu adiknya.
Empat mangsa dalam Vios – Aiman Rashid, 36, Nur Airish Syifa Sidek, 10, Nor Azlina Abd Latif, 33, dan Semek Mat Soh, 73 – disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Goh meninggal dunia akibat kecederaan dada parah semasa dalam perjalanan ke hospital.
Lapan lagi mangsa yang terbabit dalam nahas itu dikejarkan ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom di Kluang untuk rawatan.
Bahrin berkata kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) dan 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang berkaitan dengan pemanduan melulu dan berbahaya serta kematian akibat pemanduan sedemikian.



