Shah Alam, 13 Mei — Seorang lelaki yang dikehendaki polis kerana disyaki mengurung dan melakukan penderaan seksual terhadap seorang remaja lelaki berusia 14 tahun di sebuah apartmen di Bukit Kemuning, Seksyen 32 di sini, mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes rogol, rompak dan mengurung seorang wanita kira-kira 18 tahun lalu.
Rekod jenayah suspek
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol mengesahkan bahawa suspek tersebut telah disabitkan dengan kesalahan-kesalahan itu dan dipenjarakan pada tahun 2008.
"Semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah dan pernah menjalani hukuman penjara sebelum ini bagi kesalahan tersebut," katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.
Kejadian dera remaja
Semalam, Ramsay dilaporkan berkata suspek dipercayai memikat remaja itu dengan menawarkan untuk membayar pakej internet telefon bimbit sebagai pertukaran untuk membantu membawa barang di rumahnya.
Beliau berkata mangsa diikat tangan dan kaki sebelum disyaki didera secara seksual oleh suspek. Semasa dikurung seorang diri di apartmen itu, remaja tersebut berjaya membebaskan diri dan menjerit meminta tolong melalui tingkap bilik tidur. — Bernama



