KAJANG: Polis akan mengambil keterangan pakar perlembagaan dalam melengkapkan kertas siasatan terhadap bekas Ahli Parlimen Damansara Tony Pua berkaitan hantaran di media sosial yang didakwa menyentuh kedudukan Raja Berperlembagaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman M Kumar berkata pihaknya setakat ini telah merakamkan percakapan 95 orang bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 505B Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Daripada percakapan ini kita akan rujuk kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara. Tapi sebelum itu kita akan merakamkan percakapan daripada pakar akademik dari sudut Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sidang media.
Pua membuat hantaran di Facebook menyentuh kedudukan Raja Berperlembagaan, selain menekankan ‘kita tidak hidup dalam sistem di mana monarki boleh mengeluarkan titah yang mengikat bagi semua aspek kehidupan rakyat’.
Beliau turut menyeru semua rakyat membaca dan memahami prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan, selain menegaskan setia kepada ‘raja dan negara’ berdasarkan Perlembagaan dan bukannya titah.
Hantaran veteran DAP itu dibuat ketika Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyarankan Adun Seri Kembangan Wong Siew Ki dan bekas exco Selangor Ronnie Liu hadir sekurang-kurangnya seminggu sekali ke Dataran Selangor bagi memahami dan menghayati prinsip Rukun Negara serta menghormati kedaulatan institusi diraja.
Menurut Baginda, langkah itu penting supaya mereka menjadi rakyat yang memahami adab kesopanan dan kesusilaan selain menghormati institusi raja. Titah itu menyusul ketika kontroversi berhubung reaksi Wong dan Liu terhadap titah Sultan Selangor supaya penternakan babi di negeri itu dihentikan sepenuhnya.



