Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan kerajaan dan polis membayar ganti rugi keseluruhan RM195,000 kepada 13 aktivis yang ditangkap secara salah ketika menghadiri perhimpunan memperingati mangsa Covid-19, lima tahun lalu.
Bayaran RM15,000 setiap aktivis
Hakim Anand Ponnudurai memerintahkan bayaran ganti rugi RM15,000 kepada setiap aktivis. Mereka yang menerima bayaran itu ialah Nur Qyira Izzat Yusri, Nalina Nair, M Thulsi Thivani, Loh Kar Mun, Noor Suhana Ishak, Dr Subatra Jayaraj, Tharmelinggem Pillai, P Ilaiya Barathi, Addy Samsudin, Dinesh Venkitesan, Khairi Zulfadhli Abu Bakar, Wong Yan Ke dan Asraf Sharafi Azhar.
Penahanan ketika perhimpunan nyalaan lilin
Kesemua aktivis itu ditahan ketika menghadiri perhimpunan nyalaan lilin bagi memperingati mereka yang meninggal dunia akibat Covid-19 di Dataran Merdeka pada 19 Ogos 2021. Mereka kemudian memfailkan saman terhadap pegawai polis yang terbabit, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan atas dakwaan melanggar hak dijamin Perlembagaan.
Keputusan mahkamah
Anand memutuskan pegawai polis dan kerajaan bertanggungjawab atas penangkapan salah terhadap aktivis berkenaan. Beliau berkata, tindakan polis ‘merampas’ kad pengenalan mereka di lokasi perhimpunan secara tidak langsung menyekat kebebasan serta hak mereka. “Mereka diarahkan pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan sebahagian daripada mereka ‘dipaksa’ menaiki kenderaan polis. Mereka tidak lagi mendatangkan sebarang ancaman selepas perhimpunan itu tamat,” katanya.
Hakim turut berkata aktivis berkenaan dinafikan hak untuk mendapatkan khidmat peguam ketika ditahan. “Apabila peguam akhirnya dibenarkan masuk ke balai polis, keterangan sebahagian daripada mereka sudah pun diram. Peguam hanya dibenarkan memerhatikan proses rakaman keterangan bagi tahanan yang masih belum selesai memberi keterangan,” katanya.
Tanda lengan dengan pen penanda
Anand menyelar polis kerana menandakan lengan 13 individu itu menggunakan pen penanda bagi memadankan mereka dengan telefon bimbit yang dirampas. “Tiada prosedur operasi standard yang membenarkan polis berbuat demikian,” tegasnya.
Peguam kedua-dua pihak
Peguam Kee Hui Yee dan New Sin Yew mewakili aktivis berkenaan, manakala peguam persekutuan Anis Najwa Nazari mewakili pegawai polis dan kerajaan.



