Pemandu remaja berusia 19 tahun yang terlibat dalam kemalangan maut yang meragut lima nyawa di Simpang Renggam dekat Kluang pada 1 Jun lalu telah direman semula hari ini bagi memudahkan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk kes bunuh.
Perintah reman selama empat hari sehingga Isnin depan dikeluarkan oleh Majistret Mujib Saroji di Mahkamah Majistret Kluang pagi tadi.
Terdahulu, suspek yang berpakaian baju coklat tiba di kompleks mahkamah pada pukul 8.45 pagi dengan kawalan ketat polis.
Sebelum ini, suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas direman selama tiga hari sehingga semalam untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Bagaimanapun, polis menangkap semula suspek bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kemalangan yang berlaku pada Isnin lalu di KM27 Jalan Renggam-Simpang Renggam mengakibatkan kematian empat anggota sebuah keluarga yang menaiki Toyota Vios, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, di tempat kejadian.
Remaja itu, yang memandu Mercedes-Benz A250, disyaki memandu secara melulu bersama BMW 530e yang dipandu oleh abangnya berusia 22 tahun, yang meninggal dunia ketika dikejarkan ke hospital.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila BMW 530e hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar Perodua Alza, Toyota Vios, Proton Wira dan sebuah Mercedes-Benz yang lain.



