KUALA LUMPUR, 26 Mei — Seorang pemandu peribadi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun minggu lalu.
Tertuduh didakwa culik kanak-kanak
Muhamad Rafiqzam Hafeq Mohd Rosly, 23, dituduh menculik mangsa daripada bapanya, Rosli Ab Ghani, 49, di kawasan Jalan Ilmu berhampiran sebuah kolej di sini sebelum membawanya ke sebuah stesen minyak di Bukit Damansara antara jam 2.30 petang dan 4.49 petang pada 19 Mei.
Kesalahan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Majistret tetapkan syarat jaminan
Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim membenarkan tertuduh, yang diwakili peguam P. Suthes, diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah juga mengenakan syarat tambahan yang mewajibkannya melaporkan diri ke balai polis berhampiran sekali sebulan dan tidak mengganggu atau mendekati mangsa serta keluarganya sehingga kes selesai.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 20 Julai. — Bernama



