Pekebun didakwa bunuh tiga individu di Kota Tinggi
Pekebun didakwa bunuh tiga individu di Kota Tinggi

PETALING JAYA: Seorang pekebun didakwa di Mahkamah Majistret Kota Tinggi atas tuduhan membunuh tiga individu di sebuah restoran dekat Taman Kota Jaya di Kota Tinggi pada 19 April lalu.

Pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin

Lim Lian, 71, mengangguk faham selepas tiga pertuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar. Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor Harian Metro.

Butiran pertuduhan

Mengikut pertuduhan, Lim didakwa membunuh Wong Poh Soon, 61, dan Chen Kwai Hwa, 64, serta wanita warga asing, Tran Thi Trang, 37, di Kedai Chan Fong Moi dekat Jalan Delima, Taman Kota Jaya di sini, pada 1.30 petang, 19 April lalu.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dan pembelaan

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Eizlan Azhar, manakala tertuduh diwakili peguam Belinda Low. Eizlan memohon tarikh sebutan dalam masa dua minggu bagi membolehkan pihak pendakwaan mendapat izin supaya kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dengan segera. Beliau turut tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes dihadapkan ke atas tertuduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 Mei depan untuk sebutan semula kes dan tiada sebarang jaminan dibenarkan.

Kejadian tembakan

Dalam kejadian itu, ketiga-tiga mangsa maut di lokasi kejadian selepas ditembak suspek menggunakan senapang patah (shotgun). Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad berkata polis menahan suspek warga tempatan kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian dan turut merampas senjata api yang dipercayai digunakan untuk menembak mangsa.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga