Murid Tahun 5 cedera jatuh dari bumbung kandang basikal di Melaka, polis nafi buli
Murid Tahun 5 cedera jatuh dari bumbung kandang basikal di Melaka

MELAKA, 8 Mei — Polis mengesahkan menerima laporan mengenai seorang murid Tahun 5 yang cedera selepas jatuh dari bumbung kandang basikal di sebuah sekolah rendah di Batu Berendam semalam.

Kronologi kejadian

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Christopher Patit, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 12.40 tengah hari semasa pertukaran kelas. Siasatan awal mendapati budak lelaki itu telah memanjat bumbung untuk mengambil kasut murid lain yang dibuangnya dan tersangkut di situ.

"Semasa cuba turun semula ke tingkat satu bangunan sekolah, sebahagian bumbung runtuh menyebabkan mangsa jatuh dan mencederakan kaki kanannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Rawatan dan keadaan mangsa

Mangsa menerima rawatan kecemasan di sekolah sebelum dibawa ke Hospital Melaka dan kemudian dipindahkan ke hospital swasta untuk rawatan lanjut. Christopher berkata mangsa berada dalam keadaan stabil dan mengalami patah ringan pada buku lali kanan.

Siasatan polis

Siasatan melibatkan pasukan penyiasat jenayah, forensik dan saksi mengesahkan kejadian itu adalah tidak disengajakan, tanpa sebarang unsur buli, penderaan atau kecuaian. Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan spekulasi atau maklumat palsu yang boleh menimbulkan kebimbangan awam atau mengganggu siasatan. Kes disiasat di bawah Kertas Siasatan Polis (KEP). — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga