KUALA LUMPUR, 7 Mei — Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengeluarkan satu pekeliling garis panduan mengenai had waktu bekerja bagi Pegawai Perubatan (PPS) dalam masa terdekat.
Garis panduan baharu untuk pegawai perubatan
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata langkah itu susulan laporan oleh Malaysian Medics International (MMI) yang mendakwa pegawai perubatan di negara ini bekerja antara 65 hingga 85 jam seminggu.
“Satu pekeliling garis panduan baharu akan dikeluarkan untuk memperkukuh perkara berkaitan waktu bekerja pegawai perubatan, dan perkara ini mendapat perhatian Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Mahathar Abd Wahab,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan CRM Trial Connect 2026 kali kelima di sini hari ini.
Katanya, pekeliling baharu itu dijangka menambah baik tadbir urus sistem waktu kerja fleksibel sedia ada selaras dengan peraturan yang ditetapkan di fasiliti kesihatan negara.
Kesan dasar UK terhadap pelajar perubatan Malaysia
Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berkata Majlis Perubatan Malaysia (MMC) akan meneliti perubahan dasar berikutan pelaksanaan Akta Keutamaan Latihan Perubatan 2026 oleh United Kingdom, yang mengubah syarat kemasukan ke Program Asas (FY1/FY2).
Beliau berkata Dr Mahathar, selaku presiden MMC, akan meneliti perkara itu dan mencari penyelesaian bagi kira-kira 850 pelajar perubatan Malaysia di Newcastle University Medicine Malaysia (NUMed Malaysia) yang berdepan ketidakpastian masa depan akibat pelaksanaan dasar tersebut.
“MMC ingin menegaskan bahawa proses pendaftaran dan pengiktirafan bagi graduan perubatan di Malaysia adalah tertakluk kepada peruntukan Akta Perubatan 1971 dan peraturan-peraturan yang sedang berkuat kuasa.
“Semua keputusan berkaitan pendaftaran, latihan dan kelayakan profesional dilaksanakan berdasarkan keperluan statutori dan piawaian yang ditetapkan oleh MMC,” katanya.
Beliau menambah, dari sudut undang-undang, kelayakan perubatan yang disenaraikan di bawah Jadual Kedua Akta Perubatan 1971 diiktiraf untuk tujuan pendaftaran di Malaysia.
Selaras dengan peranannya sebagai badan pengawal selia, MMC tetap komited untuk memastikan semua pengamal perubatan berdaftar di Malaysia memenuhi piawaian kompetensi, profesionalisme dan keselamatan pesakit yang diperlukan.
Di bawah peraturan baharu, keutamaan hanya diberikan kepada graduan yang menjalani pengajian dan latihan secara fizikal di UK, menjadikan pelajar NUMed Malaysia yang menamatkan pengajian di Malaysia berada di bawah kategori graduan perubatan antarabangsa (IMG). — Bernama



