Lelaki Rohingya didakwa bunuh rakan senegara di Seberang Perai
Lelaki Rohingya didakwa bunuh rakan senegara di Seberang Perai

NIBONG TEBAL, 11 Jun — Seorang lelaki Rohingya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jawi hari ini atas tuduhan membunuh rakan senegaranya di sebuah kawasan perumahan bulan lalu.

Tertuduh, Osman Bawdi Alom, 38, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Nurul Aina Ahmad. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dia dituduh membunuh Abdul Rahman Shah Mia, 31, di Lorong Belibis 14, Taman Belibis, Seberang Perai Selatan, di sini pada 31 Mei lalu.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika hukuman mati tidak dijatuhkan, sabit kesalahan.

Tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyebabkan kecederaan kepada isteri mangsa, Formin Lal Mia, 26, dengan pisau di lokasi dan waktu yang sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, atau denda, atau sebatan, atau gabungan dua hukuman, sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Airina Syazreen Zainurin hadir mewakili pihak pendakwaan, manakala tertuduh diwakili peguam G. Sathiash.

Nurul Aina kemudian menetapkan 7 Ogos sebagai tarikh sebutan kes bagi penyerahan laporan bedah siasat dan menolak jaminan terhadap tertuduh.

Sementara itu, prosiding terhadap dua wanita Rohingya yang turut ditahan berikutan pembunuhan itu ditangguhkan ke 23 Jun bagi membolehkan jurubahasa Myanmar membaca pertuduhan kepada Humaira, 18, dan Minara, 29.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.20 petang itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat pelbagai kesan tikaman, manakala isterinya turut mengalami kecederaan.

Polis kemudian menahan seorang lelaki dan dua wanita untuk membantu siasatan. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga