Shah Alam: Seorang lelaki berusia 45 tahun cedera di beberapa bahagian badan termasuk kepala dan lengan selepas ditetak dengan pisau pemotong daging di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan menghala Kuala Lumpur, berdekatan Seksyen 13, pagi tadi.
Kejadian sekitar jam 7 pagi
Ketua Polis Shah Alam, Sarudin Samah, berkata mangsa yang merupakan warga tempatan sedang menunggang motosikal ke tempat kerja di ibu kota. Mangsa membunyikan hon kepada seorang lelaki kerana dipercayai menghalang laluan.
"Suspek lelaki tempatan berumur 43 tahun yang juga menunggang motosikal, dipercayai tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa kerana membunyikan hon. Akibat daripada itu, suspek berhenti di tepi jalan dan kemudian menetak mangsa dengan menggunakan sebilah pisau pemotong daging," katanya dalam kenyataan.
Mangsa dalam keadaan stabil
Mangsa telah dihantar ke Hospital Shah Alam bagi mendapatkan rawatan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan stabil. Suspek telah ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini supaya hadir ke balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Mohammad Amirul Zulkifli di talian 012-5583436.
Terdahulu, tular video memaparkan seorang lelaki dalam keadaan terbaring di tepi laluan motor Lebuhraya Persekutuan dengan kelihatan seorang lagi lelaki lain sedang mengacu pisau pemotong daging ke arahnya.



