KPM perketat peraturan keselamatan sekolah, pastikan pelajar selamat
KPM perketat peraturan keselamatan sekolah demi pelajar

KPM perketat peraturan keselamatan sekolah, pastikan pelajar selamat

JOHOR BAHRU, 11 Mei — Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang memperkemaskan Garis Panduan Pengurusan Keselamatan Sekolah bagi menyesuaikannya dengan cabaran semasa dan memastikan ia kekal relevan dalam melindungi pelajar serta warga sekolah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata usaha ini telah dimulakan melalui Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan yang merangkumi wakil daripada pelbagai pihak, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).

“Pelbagai wakil bukan kerajaan dan wakil komuniti juga menjadi sebahagian daripada jawatankuasa ini bagi memastikan isu berkaitan keselamatan sekolah diberi perhatian,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program MyLesen B2 Sekolah (MyB2S) 2026 peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Turut hadir ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli.

Pada 12 April lalu, seorang pelajar tahun satu maut selepas dilanggar kereta di hadapan surau perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Mas di Kota Bharu, Kelantan.

Di Johor, seorang pelajar perempuan tahun dua maut selepas dilanggar van di hadapan pintu pagar utama Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong di Batu Pahat pada 5 Mei lalu.

Sementara itu, dalam sidang akhbar, Fadhlina berkata KPM juga telah mengarahkan semua pengetua dan pentadbir sekolah supaya mengambil langkah keselamatan secara tegas dan konsisten setiap hari.

Beliau berkata tiada kompromi dalam isu keselamatan pelajar dan semua pihak mesti memainkan peranan bagi memastikan persekitaran sekolah sentiasa selamat.

Katanya, pelaksanaan program dan inisiatif keselamatan hari ini adalah sebahagian daripada tindakan susulan hasil perbincangan jawatankuasa khas yang meneliti isu keselamatan pelajar secara menyeluruh.

Fadhlina juga berkata kerajaan sedang merangka program MyLesen B2 dan MyB2S bagi memastikan pelajar yang menunggang motosikal ke sekolah memiliki lesen yang sah.

Kementerian Pengangkutan, melalui JPJ, menyasarkan 60,000 pelajar akan mendapat manfaat daripada program khas MyB2S 2026, dengan peruntukan kira-kira RM18.5 juta. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga