Kerajaan akan meneliti dapatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung rusuhan di Penjara Taiping yang mengorbankan seorang tahanan sebelum memutuskan tindakan selanjutnya, kata jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil.
Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi, berkata perkara itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet. Namun, beliau berkata Putrajaya mengambil berat tentang dapatan Suhakam.
“Biasanya, laporan tahunan Suhakam akan dibentangkan di Parlimen untuk dibahaskan, dan kami akan mengkajinya.
“Kami mengambil berat tentang dapatan Suhakam. Insya-Allah, kami akan menelitinya sebelum mengambil sebarang tindakan,” katanya kepada pemberita selepas majlis Korban Perdana Lembah Pantai.
Lebih 100 tahanan Penjara Taiping diserang oleh kira-kira 60 warden semasa proses pemindahan dari Dewan B ke Blok E pada 17 Januari tahun lalu. Seorang tahanan, Gan Chin Eng, meninggal dunia dalam kejadian itu.
Seorang warden telah didakwa atas tuduhan menyebabkan kematian, tetapi Suhakam menuntut pertuduhan jenayah dikenakan terhadap warden lain yang terlibat dalam insiden itu berikutan siasatan awamnya.
Ini mendorong Pengerusi DAP Gobind Singh Deo, yang juga Menteri Digital, untuk menuntut jawapan daripada Ketua Polis Negara dan Peguam Negara berhubung insiden itu.
Lebih awal hari ini, Jabatan Penjara berkata ia akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa berkaitan dalam meneliti dapatan Suhakam mengenai rusuhan itu.



