PETALING JAYA: Kejahilan terhadap peraturan, bukan niat jahat, yang menyebabkan segelintir warga Rohingya menganjurkan acara sehingga menimbulkan aduan gangguan awam, menurut seorang aktivis.
"Mereka tidak sedar bahawa mereka melanggar undang-undang ketika menganjurkan acara," kata Pengasas Rangkaian Sokongan Belia Rohingya, Husson Ahmad, kepada FMT ketika mengulas keputusan melarang komuniti itu mengadakan acara di kawasan terbuka di DUN Kesidang, Melaka.
Husson, yang cuba menjelaskan persepsi bahawa terdapat pelanggar undang-undang dalam komuniti itu, menegaskan bahawa warga Rohingya mempunyai sedikit peluang untuk mempelajari dan memahami peraturan atau perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan.
"Contohnya, mereka tidak tahu bahawa permit diperlukan untuk menganjurkan acara. Mereka juga tidak tahu cara memohon permit tersebut," katanya.
Oleh itu, katanya, mereka tidak sedar bahawa mereka telah melanggar undang-undang dengan menganjurkan acara. "Malangnya, ia kelihatan seperti mereka sengaja melanggar peraturan," tambahnya.
Minggu lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang, Allex Seah, mengumumkan bahawa warga asing, terutamanya Rohingya, dilarang menganjurkan acara atau sambutan di kawasan terbuka. Beliau berkata langkah itu bertujuan mengelakkan gangguan kepada penduduk tempatan dan mengelakkan pertikaian.
Seah berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat antara pegawai Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kesidang dengan wakil beberapa pihak berkuasa dan agensi kerajaan. Bagaimanapun, katanya, warga Rohingya masih dibenarkan mengadakan acara di premis "sesuai" seperti restoran atau dewan komuniti.
Sementara itu, Husson menegaskan bahawa membenarkan pengecualian sedemikian tidak mencukupi kerana ia masih kelihatan seperti komuniti itu disasarkan. "Komuniti ini akan berasa terpinggir dan tidak diterima sebagai sebahagian daripada masyarakat. Bagi generasi muda, ia menjejaskan rasa kekitaan dan identiti mereka," katanya, sambil menambah bahawa bagi kebanyakan mereka, Malaysia merupakan tempat perlindungan yang selamat.
Amnesty International juga mengkritik langkah itu, dengan mengatakan ia secara tidak adil menyasarkan satu kumpulan. Pengarah Bersama Serantau untuk Asia Timur dan Tenggara dan Pasifik, Montse Ferrer, berkata sebarang isu yang melibatkan bunyi bising atau ketenteraman awam harus ditangani secara langsung dan bukannya dengan mengenakan sekatan menyeluruh ke atas seluruh komuniti.
"Sekatan menyeluruh terhadap tempat warga asing boleh berkumpul, terutamanya apabila pegawai menamakan komuniti Rohingya sebagai kebimbangan utama, adalah bersifat diskriminasi," katanya ketika dihubungi.
Ferrer berkata perkahwinan dan perhimpunan budaya tidak harus dianggap sebagai ancaman, dan berbuat demikian menghilangkan maruah orang yang telah melarikan diri daripada keganasan dan penganiayaan. Beliau berkata sebarang kebimbangan khusus harus ditangani melalui penguatkuasaan yang betul, bukan "hukuman kolektif" terhadap seluruh komuniti.



