Jurulatih kadet bomba didakwa amang seksual, miliki pornografi kanak-kanak
Jurulatih kadet bomba didakwa amang seksual, miliki pornografi

IPOH: Seorang jurulatih kadet bomba berdepan tujuh pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan satu pertuduhan memiliki gambar pornografi membabitkan seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.

Tertuduh mengaku tidak bersalah

Muhammad Aidilafifi Muhammad, 28, yang juga anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan selepas ia dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.

Lokasi kejadian

Bagi pertuduhan amang seksual fizikal, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa di beberapa lokasi berbeza di dalam dan luar sekolah di sekitar daerah Perak Tengah antara awal Februari hingga 1 Mei lepas.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan pornografi

Tertuduh turut didakwa atas satu lagi pertuduhan kerana memiliki gambar pornografi mangsa dalam telefon bimbit miliknya. Pertuduhan bagi kesalahan itu dibuat mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bicara jaminan

Timbalan Pendakwa Raya Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin tidak menawarkan sebarang jaminan atas faktor keseriusan kesalahan, namun memohon jumlah jaminan RM80,000 secara keseluruhan sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara.

Peguam Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya telah berkhidmat lebih empat tahun, memberikan kerjasama penuh kepada polis serta bukan individu berisiko melarikan diri. Beliau berkata tertuduh yang juga penjawat awam menanggung isteri serta ibu bapanya berusia lingkungan 60-an selain menetap di kuarters bomba, sekali gus mengurangkan risiko untuk melarikan diri dan mencadangkan jaminan RM5,000 secara keseluruhan.

Keputusan mahkamah

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin tempatan serta syarat tambahan supaya melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap awal bulan. Hakim turut memerintahkan tertuduh dilarang sama sekali menghubungi, mendekati atau mengganggu mangsa serta keluarga mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 23 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga