MELAKA, 2 Julai — Seorang ibu tunggal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas dua tuduhan memiliki bahan lucah dan mengedar gambar bogel yang diubah suai melalui media sosial bulan lalu.
Tertuduh mengaku tidak bersalah
T. V. Pavithra, 33, membuat pengakuan tersebut selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Sulaiman.
Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa memiliki bahan lucah dalam telefon bimbitnya di sebuah kondominium di Kota Laksamana Jaya kira-kira jam 6.15 petang pada 28 Jun.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tuduhan kedua berkaitan pengedaran gambar
Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menggunakan media sosial dengan niat untuk mengedarkan gambar bogel seorang wanita yang telah diubah suai, yang berkemungkinan menyebabkan gangguan, kesusahan, ketakutan, atau kebimbangan kepada mangsa.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Melaka Raya kira-kira jam 11 malam pada 24 Jun.
Pertuduhan di bawah Seksyen 507B Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda, atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Permohonan jaminan
Timbalan Pendakwa Raya Syaza Nur Sharif mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan, dengan syarat tambahan bahawa tertuduh tidak mengganggu mangsa, keluarga mangsa, dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Muhammad Izzuddin Ab Malek, yang mewakili Pavithra, memohon jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh, yang hanya bergantung kepada pendapatan daripada perniagaan dalam talian, menanggung ibunya yang cacat fizikal dan adiknya yang cacat mental.
Mahkamah membenarkan jaminan RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan, bersama-sama dengan syarat tambahan yang dicadangkan oleh timbalan pendakwa raya, dan menetapkan 5 Ogos untuk sebutan semula kes. — Bernama



