Guru bahasa Inggeris didakwa amang seksual murid sembilan tahun di kantin
Guru didakwa amang seksual murid di kantin sekolah

Seorang guru bahasa Inggeris mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid perempuan di kantin sekolah, bulan lalu.

Butiran Pertuduhan

Mohd Saufi Jama'in, 45, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap kanak-kanak berusia sembilan tahun yang mana dia mempunyai hubungan amanah, lapor Bernama. Dia dituduh melakukan kesalahan itu di kawasan ruang makan guru di kantin sebuah sekolah dekat Kuala Lumpur, pada 9 pagi 5 dan 7 Mei dengan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

Seksyen 14(a) memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan manakala bagi Seksyen 16, lelaki itu berhadapan hukuman tambahan iaitu penjara maksimum lima tahun dan tidak kurang dua sebatan, jika sabit kesalahan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Bicara Jaminan

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi dua pertuduhan itu berserta syarat tambahan melapor diri di balai polis sebulan sekali dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi.

Peguam Francis Pereira mewakili Saufi merayu jaminan RM4,000 bagi setiap pertuduhan atas alasan anak guamnya yang bekerja sebagai guru hampir 20 tahun menanggung empat anak dan mempunyai darah tinggi. "Tertuduh tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan tidak dikenakan tindakan tatatertib sepanjang perkhidmatannya serta telah memberi kerjasama baik kepada polis dan tidak berisiko untuk melarikan diri," katanya.

Hakim Ho Kwong Chin membenarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin bagi dua pertuduhan dan membenarkan syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan serta menetapkan sebutan kes pada 4 Ogos.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga