Galeri Seni Negara sedia terima lukisan 1MDB dengan persiapan rapi
Galeri Seni Negara sedia terima lukisan 1MDB

KUALA LUMPUR, 5 Mei — Galeri Seni Negara bersedia untuk menerima empat karya agung antarabangsa yang diperoleh menggunakan dana 1MDB, yang kini telah dipulangkan ke Malaysia.

Persiapan Rapi Galeri Seni Negara

Dalam satu kenyataan hari ini, Galeri Seni Negara memaklumkan bahawa proses penyerahan empat karya seni itu, yang dijadualkan diterima minggu depan secara berfasa, akan dilaksanakan dengan teliti bagi memastikan pematuhan terhadap setiap aspek pengendalian.

“Persiapan rapi juga melibatkan kemudahan penyimpanan dan pemuliharaan, termasuk bilik pemuliharaan khusus yang dilengkapi dengan sistem kawalan suhu dan kelembapan yang stabil.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Langkah-langkah ini penting untuk memastikan pematuhan terhadap piawaian pemuliharaan yang ditetapkan, supaya karya-karya ini kekal dalam keadaan optimum.

“Aspek keselamatan juga diberi keutamaan dengan kawalan ketat untuk menjamin setiap karya seni kekal selamat dan terpelihara dengan baik,” kata kenyataan itu.

Empat Karya Agung Bernilai Tinggi

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata empat karya seni yang dipulangkan itu, dianggarkan bernilai AS$198,125 (RM786,556), merupakan antara 12 buah karya yang dipercayai berkaitan dengan penyelewengan dana 1MDB.

Empat karya agung tersebut ialah L’Ecuyère et les clowns (1961) oleh Pablo Picasso, Montmartre (1934) oleh Maurice Utrillo, Etude pour femme couchée (1948) oleh Balthus, dan Composition (1953) oleh Joan Miró.

Komitmen Galeri Seni Negara

Galeri Seni Negara menyatakan bahawa ia tetap komited sepenuhnya untuk memelihara integriti, nilai sejarah dan kepentingan karya seni ini untuk generasi akan datang.

“Kami akan memaklumkan kepada orang ramai secara berkala mengenai perkembangan berhubung rancangan untuk mempamerkan karya-karya ini,” kata kenyataan itu.

Galeri Seni Negara juga mengucapkan tahniah kepada SPRM dan semua pihak yang terlibat kerana berjaya memulangkan karya seni ini. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga