Enam pelajar ditahan kerana buli pelajar 14 tahun di Muar
Enam orang pelajar lelaki berusia 17 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan kes buli yang melibatkan seorang pelajar berusia 14 tahun di sebuah sekolah di Muar, bulan lalu. Ketua Polis Johor, Ab Rahaman Arsad, berkata kesemua pelajar tersebut ditahan di Muar dan Alor Gajah, Melaka, antara pukul 1.30 pagi hingga 2.12 pagi hari ini, berikutan laporan polis yang dibuat semalam.
Tiada rekod jenayah, reman dua hari
Dalam kenyataan hari ini, Ab Rahaman berkata pemeriksaan menunjukkan kesemua pelajar itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Polis telah memperoleh perintah reman dua hari sehingga esok untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 507B Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera dan buli.
Beliau berkata polis juga menyiasat kemungkinan unsur pengabaian oleh warden asrama dan pihak pengurusan sekolah memandangkan kejadian berlaku di dalam dormitori. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Mangsa dakwa dipukul, diambil wang
Menurut Ab Rahaman, mangsa mendakwa suspek yang merupakan pelajar senior di sekolah itu telah memukul dadanya, menyebabkan lebam di sekitar mata selepas memukul kepalanya, dan memaksanya menyerahkan wang. “Akibat kejadian itu, mangsa mengalami tekanan emosi dan trauma, menyebabkan dia berhenti sekolah,” katanya.
Beliau menegaskan polis memandang serius insiden buli sebegini dan akan menjalankan siasatan yang telus dan adil.



