Dua remaja dan pasangan warga emas direman kes tikam gadis 61 kali
Dua remaja, warga emas direman kes tikam gadis 61 kali

PETALING JAYA: Dua remaja lelaki direman tujuh hari, manakala pasangan warga emas direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes bunuh seorang gadis berusia 19 tahun di Kota Bharu, semalam.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid terhadap semua suspek di Mahkamah Majistret Kota Bharu, menurut laporan Sinar Harian.

Keempat-empat suspek yang berusia antara 19 hingga 66 tahun itu ditahan dalam serbuan berasingan di tiga lokasi berbeza, iaitu Taman Murni, Jalan Abdul Kadir Adabi dan Kampung Belukar Luas, Ketereh, oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Benda Rampas dan Penemuan Mayat

Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat, dilaporkan berkata polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu, bersama dua buah kereta, dua telefon bimbit, satu set pakaian, sepasang selipar dan empat unit pelapik kaki.

Mayat mangsa yang merupakan seorang penuntut kolej ditemukan dengan 61 kesan tikaman di seluruh badan berhampiran kawasan sawah di Kampung Simah, Ketereh, kira-kira jam 12.35 tengah malam. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk tindakan lanjut.

Hasil bedah siasat mendapati terdapat 61 tikaman di keseluruhan badan dan muka, serta punca kematian adalah akibat kecederaan tikaman berganda di bahagian dada.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga