Mahkamah Sesyen Sepang pada hari ini menjatuhkan denda RM4,000 setiap seorang kepada seorang pemandu peribadi dan seorang sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kerana menyebarkan maklumat palsu berkenaan inisiatif Budi Madani RON95 (Budi95) di platform TikTok.
Hukuman terhadap Mohd Aiman Zaini Satar
Hakim Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman terhadap Mohd Aiman Zaini Satar, 29, dengan menyifatkan kesalahan itu serius dan boleh mencetuskan kekacauan awam. Beliau turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
“Kesan daripada hantaran kita di media sosial adalah serius; kadang-kadang ia boleh membawa kepada huru-hara. Jika dibiarkan, tindakan sebegini boleh menimbulkan kekacauan. Berhati-hati ketika membuat hantaran,” tegas hakim.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja mencipta dan menyebarkan hantaran palsu dengan niat untuk menyusahkan mana-mana orang pada 4 April, yang telah dilihat pada 5 April di Aras 8, Menara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) 1, Jalan Impact, Cyber 6, Cyberjaya.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000, atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pegawai pendakwa MCMC Nazrul Nizam Mohd Zameri hadir untuk pihak pendakwaan, manakala Mohd Aiman tidak diwakili peguam.
Sebelum itu, Mohd Aiman merayu hukuman ringan dengan alasan pendapatan tidak tetap dan perlu menanggung isteri serta anaknya yang berusia dua setengah tahun yang menghidap leukemia.
Hukuman terhadap Romfazly Syam Mohd Mokhtar
Secara berasingan, di hadapan hakim yang sama, sukarelawan APM Romfazly Syam Mohd Mokhtar, 46, turut didenda RM4,000 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda kerana menyebarkan maklumat palsu mengenai subsidi Budi95 di TikTok.
Hantaran itu dibuat pada 4 April dan kemudian dilihat pada 5 April di Aras 8, Menara MCMC 1, Jalan Impact, Cyber 6, Cyberjaya. Beliau didakwa di bawah seksyen yang sama dalam AKM 1998.
Ahmad Fuad berkata tertuduh sepatutnya menjadi “ejen kerajaan” untuk menerangkan peranan dan dasar kerajaan, dan memberi amaran supaya lebih berhati-hati dengan hantaran media sosial.
Kedua-dua lelaki itu kemudiannya membayar denda tersebut. — Bernama



