KUALA LUMPUR, 10 Mei — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendakwa seorang bekas pembantu khas Ahli Parlimen di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.
Suruhanjaya itu memaklumkan lelaki tersebut dijangka didakwa pada pukul 8.30 pagi di mahkamah berkenaan.
Pada Mac tahun lalu, bekas pembantu khas itu telah direman bagi memudahkan siasatan berhubung perolehan papan pintar oleh Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan pada 14 November 2024.
SPRM juga memaklumkan seorang pakar kewangan dan pelaburan Islam yang bergelar Tan Sri serta seorang lagi pengarah syarikat dijangka didakwa di mahkamah yang sama esok pagi.
Pada Januari lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri kerana didakwa menipu pelabur dan menyebabkan kerugian lebih RM300 juta dalam tempoh dua tahun lalu.
Seorang wanita yang merupakan ahli lembaga syarikat itu juga ditahan pada masa tersebut. — Bernama



