Antara 'Ramadan' dan 'Ramadhan': Perdebatan Ejaan dalam Bahasa Melayu
Antara 'Ramadan' dan 'Ramadhan': Perdebatan Ejaan

Antara 'Ramadan' dan 'Ramadhan': Perdebatan Ejaan dalam Bahasa Melayu

Peranan institusi bahasa adalah untuk menyeragamkan, bukan memuaskan semua hati. Tanpa piawaian yang jelas, buku teks, akhbar, dan dokumen rasmi akan menjadi huru-hara. Seperti biasa, warganet di media sosial tidak akan berhenti bertekak, kerana sentiasa ada isu untuk diperdebatkan.

Kontroversi Ejaan Menjelang Ramadan

Menjelang Ramadan minggu lepas, apabila diketahui bahawa ejaan yang betul menurut Kamus Dewan ialah 'Ramadan', bukannya 'Ramadhan' seperti yang sering dieja, sekali lagi warganet menjadi bising. "Bukankah kita sudah biasa mengeja Ramadhan? Ia berasal dari huruf dhod, bukan dal. Pastilah ejaannya Ramadhan!" keluh seorang kakak yang kerap menghadiri solat tarawih di masjid tetapi enggan bergerak untuk mengisi saf depan.

Warganet risau sekiranya tersalah sebut, makna mungkin berubah. Tiba-tiba, saya teringat bait lagu Selamat Hari Raya yang dinyanyikan oleh Saloma: "Di masa bulan Remdan, kita berpuasa hingga sebulan. Pabila Syawal menjelma, hari raya disambut dengan gembira." Saloma menyebut 'Remdan' dengan mudah dan ringkas. Jika itu dianggap salah, sukar untuk ditukarkan. Andai kata ada penyanyi ingin merakam semula lagu tersebut, mereka harus menyebut 'Ramadan' dengan betul.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Contoh Lain dalam Bahasa dan Budaya Pop

Saya juga teringat lagu pop yeh-yeh nyanyian A Halim berjudul Kisah Dan Tauladan. Sebenarnya, yang betul ialah 'teladan', bukan 'tauladan'. Namun, kerana ia sudah dirakam, biarkan ia sebagai karya lama tanpa diperberatkan. Isu ejaan 'Ramadan' ini menyebabkan orang awam menentang autoriti bahasa seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Mereka yang malas mengeja penuh ketika membuat posting turut membangkang, mempertahankan amalan yang telah lama diamalkan. Seperti perkataan 'taksub' atau 'redha', yang sebenarnya salah menurut pihak berkuasa; ejaan betul ialah 'taasub' dan 'reda'. Kerana politik, ejaan 'biadab' ditukar kepada 'biadap' untuk menyindir parti politik tertentu, dan lama-kelamaan ramai terbiasa dengan ejaan yang salah itu.

Punca Kemarahan dan Penyesuaian Bahasa

Punca ramai yang marah adalah kerana sebutan lisan 'Ramadan' sudah sebati dengan lidah kita (romadhon), dan mengapa ia dieja berbeza dalam bahasa persuratan. Seorang guru bahasa mengulas, "Dewan Bahasa dan Pustaka menyesuaikan ejaan dengan sebutan lidah Melayu. Contohnya, perkataan 'mayat' telah diMelayukan; jika tidak, susah kita nak sebut 'mayyit'. Nama 'Abu Bakar' sahabat nabi, jika ikut sebutan Arab, berbunyi 'Abu Bakr'. Kan susah nak sebut?"

Betul juga. Susah nak sebut 'awwal', maka lidah kita menyebut 'awal'. 'Dun-ya' sudah menjadi 'dunia'. Malah, ejaan 'Allah' kita terima, sedangkan sebutannya lebih kepada 'Alloh' dengan bunyi yang lebih tebal. Perbahasan ini bukan sekadar soal menghilangkan huruf 'h' dalam ejaan 'Ramadan', tetapi ia adalah soal falsafah bahasa.

Falsafah dan Sejarah Penyesuaian Ejaan

Badan kajian bahasa Melayu sejak dahulu memilih untuk memudahkan sebutan penuturnya. Kita tidak mengekalkan semua ciri fonetik bahasa asal kerana tujuan bahasa adalah untuk difahami, bukan untuk mempamerkan kesetiaan kepada lidah asing. Sebab itu kita tulis 'fikir', bukan 'fikr'; 'ilmu', bukan 'a’ilm'; dan 'hakikat', bukan 'haqiqat'. Semua ini adalah kompromi antara ketepatan asal dan keselesaan lidah tempatan.

Jika semua mahu dikekalkan persis bahasa Arab, mungkin kelas tajwid perlu diwajibkan sebelum lulus subjek bahasa Melayu. Ada yang berhujah, "Ini soal agama, bukan sekadar bahasa." Tetapi bukankah agama tersebar melalui pelbagai bahasa? Umat Islam di Turki menyebut 'Ramazan' dan 'Allahu Ekber'. Di Indonesia, loghat Jawa kedengaran sengau ketika membaca 'Alhamdulillahi rabbil-alamin' menjadi 'ngaalamiin'. Di Afrika, bunyinya pun berbeza.

Perubahan Bahasa dan Penerimaan Masyarakat

Jika hendak diadili secara tegas, agama boleh runtuh hanya kerana bunyi huruf berbeza! Sedangkan hakikatnya, mesej dan maknanya tetap sama. Saya pernah tinggal di Beijing, kadang-kadanya saya tidak dapat mengenal pasti surah yang dibaca oleh imam solat Jumaat kerana pelat lidah kecinaannya. Namun, tidak mungkin Tuhan tidak faham dan menghukum mereka dengan dosa, bukan?

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga

Kita juga tidak kecoh apabila mengeja 'solat', walhal dalam bahasa Arabnya huruf 'sad' bukan 'sim'. Itu belum lagi ejaan 'zakat' kenapa tidak dieja 'zakah'. Malah, kita sudah lama menerima 'doa', bukan 'du’a', kerana semua itu telah melalui proses penyesuaian ejaan sejak berpuluh tahun.

Sejarah dan Dinamika Bahasa Melayu

Jika kita sorot sejarah ejaan bahasa Melayu, bukan sekali dua pembaharuan dilakukan. Sistem ejaan berubah daripada Za’ba kepada ejaan Rumi Baharu 1972. Banyak yang diselaraskan demi keseragaman serantau. Jika generasi sebelum kita boleh menerima perubahan sebesar itu, mengapa kita begitu berat menerima perubahan sekecil satu huruf?

Masalahnya ialah kita susah untuk memperbetulkan apa yang telah kita biasakan sejak lama. Sebab itulah kita mempertikaikan sesuatu yang kita anggap baharu, walhal sewaktu kita celik mata baru nak hidup, kita telah menerima sesuatu perkara yang generasi sebelumnya telah ubah. Tetapi oleh kerana ia telah lama dipraktikkan, kita tidak nampak ia salah.

Peranan Media Sosial dan Masa Depan Bahasa

Tambahan pula, media sosial menjadikan setiap orang 'pakar segera'. Tiba-tiba semua menjadi ahli linguistik, ahli fonetik, dan ahli agama serentak. Jarang sekali kita semak dahulu sumber atau memahami rasional di sebalik sesuatu ketetapan. Hakikatnya, bahasa sentiasa bergerak. Ejaan yang kita anggap muktamad hari ini mungkin disemak semula pada masa depan.

Dahulu, kita guna ejaan 'ch' untuk bunyi 'c' – seperti 'chinta', 'chukop'. Mulanya, kita keliru 'chat' (paint) dieja menjadi 'cat' sehingga kita terbaca cat (kucing dalam Bahasa Inggeris). Lama-kelamaan, kita boleh terima sehingga menjadi biasa. Siapa tahu 50 tahun akan datang, anak cucu pula ketawa melihat ejaan kita hari ini yang janggal bunyinya.

Kesimpulan: Peranan Institusi Bahasa

Yang penting, kita sedar peranan institusi bahasa ialah menyeragamkan, bukan memuaskan semua hati. Tanpa piawaian, buku teks, akhbar, dan dokumen rasmi akan jadi huru-hara. Bahasa pasar boleh kita guna dan lenturkan ketika menulis dalam urusan tidak rasmi, tetapi bahasa persuratan perlukan disiplin. Itu sahaja yang kita perlu belajar membezakan dan tidak mencampuradukkan.

"Maaf zahir dan batin," kita ucap ketika Hari Raya Aidilfitri tiba pada 1 Syawal nanti. Bagaimana jika suatu hari nanti DBP umumkan ejaan 'zahir' mesti jadi 'dzahir' dan 'batin' jadi 'bathin'? Kita hendak lawan atau patuh? Atau sebenarnya kita marah kerana berasakan perubahan itu sepatutnya sudah dibuat lama? Ah! Mana-mana pun, kita tetap tidak akan berpuas hati.

Bagi saya, isu ini, sekalipun kecil, mengajar kita bahawa mencintai bahasa bukan bermaksud membekukannya. Bahasa yang hidup pasti berubah. Dan perubahan, walau sekecil satu huruf pun, tetap boleh kita alu-alukan jika kita sentiasa terbuka untuk terus bergerak ke hadapan.