KUALA LUMPUR: Seorang wakil rakyat mahu keupayaan forensik digital polis diperkasakan melalui peruntukan bajet tambahan bagi mendepani ancaman pemangsa seksual kanak-kanak yang semakin bijak memanipulasi teknologi.
Dr Zulkafperi Hanapi (Bebas-Tanjong Karang) berkata undang-undang siber yang tegas tidak akan membawa makna sekiranya agensi penguatkuasaan tidak dilengkapi dengan instrumen teknologi yang 'pintar'. Justeru beliau menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) meningkatkan bajet operasi Unit Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) bagi mempertingkatkan infrastruktur forensik digital pasukan tersebut.
Undang-undang tegas perlu penguatkuasaan pintar
“Undang-undang yang tegas tanpa penguatkuasaan yang pintar adalah sia-sia belaka. Kita memerlukan sistem amaran awal digital dan kerjasama erat dengan penyedia platform antarabangsa untuk menurunkan kandungan toksik ini dengan serta-merta,” katanya dalam perbahasan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) di Dewan Rakyat.
Menurut Zulkafperi, perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan aplikasi deepfake kini bukan lagi fiksyen sains, sebaliknya realiti menakutkan bagi keselamatan kanak-kanak. Taktik pemangsa berubah secara radikal; mereka tidak perlu berada secara fizikal bersama mangsa untuk mencabuli maruah golongan berkenaan.
AI dan deepfake ancaman baharu
“Cukup sekadar sekeping gambar biasa beruniform sekolah yang dimuat naik di media sosial, teknologi AI mampu mengubahnya menjadi kandungan pornografi kanak-kanak dalam masa beberapa saat,” katanya. Pemangsa kini semakin licik menyamar sebagai rakan sebaya dalam platform permainan video dalam talian, aplikasi penstriman dan bilik sembang peribadi untuk melakukan grooming seksual.
Proses jenayah ini bermula dengan membina kepercayaan dan memanipulasi emosi mangsa, sebelum menjerat mereka ke kancah eksploitasi fizikal.
Pindaan Akta 792 perluas bidang kuasa
Berdasarkan naskhah Rang Undang-Undang itu, pindaan berkenaan akan meluaskan skop pemakaian Akta 792 terhadap mana-mana individu yang mempunyai kaitan dengan Malaysia, melibatkan kesalahan yang dilakukan di luar negara. Di bawah Seksyen 3 RUU itu, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap warganegara, pemastautin tetap, atau individu yang menetap di Malaysia jika mereka melakukan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak di luar negara.
Kesalahan itu akan dibicarakan seolah-olah ia dilakukan di dalam negara. Tindakan sama turut terpakai terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan seksual di luar negara, sekiranya mangsa kanak-kanak terlibat adalah warganegara, pemastautin tetap, atau menetap di Malaysia.



