Abdul Halim Mula Tugas Sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM
PUTRAJAYA, 13 Mei — Datuk Seri Abdul Halim Aman secara rasmi memulakan tugasnya hari ini sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu. Beliau menggantikan Tan Sri Azam Baki, yang menamatkan perkhidmatannya semalam selepas 42 tahun bersama agensi anti-rasuah itu.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, dalam satu hantaran di Facebook turut mengucapkan tahniah kepada Abdul Halim atas pelantikannya. “Saya percaya kredibiliti dan pengalaman beliau dalam bidang perundangan akan terus menambah nilai, memperkukuh peranan SPRM serta meningkatkan martabatnya sebagai agensi penguatkuasaan yang berprestij di dalam dan luar negara,” katanya.
Shamsul Azri juga berkongsi gambar-gambar Abdul Halim menerima surat lantikan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu. Pada masa yang sama, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Azam Baki atas perkhidmatan selama empat dekad bersama suruhanjaya itu.
“Banyak pencapaian dan pembaharuan telah dilaksanakan di bawah kepimpinannya dalam mengemudi SPRM sebagai badan penguatkuasaan terkemuka. Sumbangan Tan Sri Azam akan sentiasa dikenang, dan saya berharap beliau akan terus menyumbang kepada negara dalam apa jua kapasiti pada masa hadapan,” katanya.
Pada 25 April, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah memperkenankan pelantikan Abdul Halim, yang merupakan bekas Hakim Mahkamah Tinggi, sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu berkuat kuasa hari ini. — Bernama



