Mahkamah Cyprus rampas vila Jho Low bernilai RM30.5 juta
Mahkamah Cyprus rampas vila Jho Low bernilai RM30.5 juta

KUALA LUMPUR, 11 Jun — Sebuah mahkamah di Cyprus telah memerintahkan rampasan sebuah vila mewah milik ahli perniagaan Malaysia yang menjadi buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, sebagai sebahagian daripada prosiding anti-pengubahan wang haram, lapor CyprusMail.

Perintah rampasan dikeluarkan

Menurut kenyataan dari pejabat peguam negara, Mahkamah Daerah Nicosia mengeluarkan perintah itu pada hari Selasa lalu berikutan permohonan bersama oleh Peguam Negara Cyprus, George Savvides, dan pihak berkuasa anti-pengubahan wang haram negara itu, Mokas. Peguam yang mewakili Low dilaporkan telah bersetuju dengan permohonan tersebut.

Vila yang dianggarkan bernilai kira-kira €6 juta (RM30.5 juta) itu terletak di bandar peranginan pantai Ayia Napa dan diperoleh melalui program kewarganegaraan melalui pelaburan negara itu yang kini sudah dimansuhkan, biasanya dikenali sebagai skim 'pasport emas'.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Kes pertama tanpa sabitan jenayah

Permohonan rampasan ini difailkan di bawah undang-undang Cyprus mengenai pencegahan dan penindasan aktiviti pengubahan wang haram dan dipercayai merupakan kes pertama di mana mahkamah Cyprus memerintahkan rampasan harta tanpa sabitan jenayah.

Low, yang dituduh menggelapkan kira-kira AS$4.5 bilion daripada dana kekayaan berdaulat Malaysia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), telah diberikan kewarganegaraan Cyprus pada tahun 2015.

Cyprus membatalkan kewarganegaraan Low pada Jun 2024, hampir sedekad selepas dia memperoleh pasport melalui pelaburan hartanah di pulau itu.

Menurut laporan itu, walaupun Low dilaporkan sedang disiasat pada masa itu, dia tidak secara rasmi disenaraikan sebagai orang dikehendaki sehingga Oktober 2016, apabila Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol) mengeluarkan notis merah terhadapnya. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga