Suami guru besar direman seminggu kes intai murid di Gua Musang
Suami guru besar direman seminggu kes intai murid

PETALING JAYA: Seorang warga emas direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes mengintai murid perempuan di sebuah sekolah rendah di Gua Musang baru-baru ini. Ketua Polis Gua Musang Sik Choon Foo berkata, tahanan reman bermula semalam terhadap lelaki berusia 60 tahun, yang juga suami guru besar di sekolah itu, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Memetik sumber, Berita Harian melaporkan kejadian berlaku di tandas murid di sekolah rendah itu. Menurutnya, kejadian pertama dilaporkan berlaku pada 7 April lepas, apabila empat murid perempuan memaklumkan mereka terdengar jeritan dari dalam tandas murid perempuan. “Murid-murid berkenaan turut mendakwa melihat dua murid perempuan Tahun Dua berada di dalam tandas itu sebelum ternampak seorang lelaki keluar dari tandas,” katanya.

Sumber sama berkata, pada awal bulan ini, lelaki sama kerap dilihat berada di kawasan surau sekolah pada waktu petang, ketika sesi kelas Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) berlangsung. Katanya, lelaki itu didakwa mengintai murid perempuan yang sedang mengambil wuduk. Susulan kejadian yang menimbulkan kebimbangan kepada ibu bapa dan murid sekolah, laporan polis dibuat agar siasatan lanjut dapat dijalankan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Kes ini mendapat perhatian ramai kerana melibatkan seorang warga emas yang sepatutnya menjadi teladan. Ibu bapa di sekitar Gua Musang meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan anak-anak mereka di sekolah. Pihak polis menasihatkan agar semua pihak sentiasa peka dan melaporkan sebarang kejadian mencurigakan dengan segera.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga