PETALING JAYA: Seorang lelaki yang baru dua bulan mendirikan rumah tangga direman selama seminggu selepas disyaki mendera anak tirinya yang berusia dua tahun 11 bulan sehingga mengalami kecederaan.
Tangkapan di hadapan hospital
Ketua Polis Seremban, Yatim Osman, berkata suspek berusia 24 tahun itu ditahan di hadapan Hospital Tuanku Ja'afar di Seremban pada pukul 10.55 malam semalam selepas pihak polis menerima laporan daripada isterinya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku di dalam sebuah kereta di sebuah stesen minyak di Jalan Seremban menghala ke Jelebu.
Kesan lebam pada badan mangsa
“Siasatan awal juga mendapati mangsa sering dipukul oleh suspek sehingga cedera semasa berada di rumah di Jalan Rasah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan fizikal ke atas mangsa mendapati terdapat kesan lebam di bahagian depan dan belakang badan mangsa yang dipercayai akibat dicubit.
Mangsa yang dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar kini ditahan di wad untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Suspek tiada rekod jenayah
“Suspek dan pengadu baru mendirikan rumah tangga pada April lalu,” katanya sambil menambah bahawa suspek tiada rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencingnya negatif dadah.
Jelasnya, suspek direman selama tujuh hari sehingga 20 Jun ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi bilik gerakan IPD Seremban di talian 06-6033222.



