Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi dalam usaha membanteras rasuah dan akan terus memperkasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai sebuah institusi yang berwibawa dan dihormati.
Menurut beliau, pengukuhan tadbir urus, integriti, serta agenda pembaharuan institusi negara merupakan teras utama dalam membina Malaysia yang lebih adil, telus, dan berdaya saing.
Kenyataan itu dibuat semasa menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman, di Putrajaya semalam.
"Saya tekankan bahawa integriti bukan sekadar tuntutan dalam perkhidmatan awam, tetapi asas penting untuk menjamin keyakinan rakyat, menarik pelaburan berkualiti, dan menentukan masa depan negara yang lebih mampan.
"Kerajaan MADANI akan terus memperkasa SPRM sebagai institusi yang berwibawa dan dihormati dalam usaha membasmi rasuah tanpa kompromi bagi memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati oleh generasi kini dan akan datang," katanya dalam satu hantaran di Facebook.



