Pemuda PKR menggesa tindakan tegas dikenakan terhadap mana-mana pihak termasuk pemimpin politik atas kesalahan memfitnah. Ketua Pemuda PKR, Kamil Munim, berkata permohonan maaf tidak boleh dijadikan ‘lesen’ atau ‘pas percuma’ untuk terus memfitnah.
Kitaran fitnah perlu dihentikan
“Kalau tak ada tindakan tegas, kitaran ini akan terus berulang, politik kita makin kotor, dan akhirnya rakyat yang rugi. Cukuplah. Jangan bina politik atas asas fitnah,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan itu menyusul tindakan Ahli Parlimen Jasin daripada PAS, Zulkifli Ismail dan lidah rasmi parti itu, Harakah, memohon maaf kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung kenyataan fitnah berkaitan larangan laungan ‘takbir’ dan bacaan doa-doa Islam semasa Minggu Solidariti Palestin tiga tahun lalu.
Integriti diperlukan dalam politik matang
Kamil berkata, politik matang memerlukan integriti, bukan manipulasi, dan pemimpin bertanggungjawab tidak akan memetik fakta sesuka hati, terutama menggunakan isu agama. Katanya, dalam tempoh tiga tahun, tindakan Ahli Parlimen PAS itu menyebabkan rakyat terpedaya dengan cerita palsu tersebut sehingga menjejaskan kepercayaan awam terhadap institusi pendidikan negara.
“Sementara kita memuji pendekatan mana-mana individu yang terkhilaf untuk memohon maaf, kerosakan akibat fitnah takkan hilang dengan satu baris permohonan maaf. Reputasi yang dah tercalar takkan pulih sekelip mata.
“Persepsi negatif yang dah tertanam dalam kepala orang selama bertahun-tahun takkan ‘auto delete’ hanya sebab pelaku kata saya minta maaf. Jangan normalisasikan fitnah dulu, maaf kemudian,” katanya sambil menegaskan isu Palestin sepatutnya menyatukan rakyat, bukan memecah-belahkan.
Latar belakang kes fitnah
Pada 5 Nov 2023, Zulkifli mendakwa kementerian melarang laungan ‘takbir’ dan bacaan doa-doa Islam semasa Minggu Solidariti Palestin yang diadakan di sekolah seluruh negara. Kenyataannya dibuat dalam satu acara berasingan sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin, dan diterbitkan portal dalam talian Harakahdaily serta akhbar Harakah keesokan harinya.



