Tindakan PAS memutuskan kerjasama dengan Bersatu menimbulkan persoalan mengenai makna sebenar penyatuan ummah yang sering dilaungkan. Dua tiga kali jugalah saya ulang baca untuk memastikan betul apa yang dibaca. Ternyata mata tua ini tidak memperdayakan saya. Memang betul dinyatakan tindakan diambil berkaitan penyatuan ummah.
Saya bercakap mengenai tindakan PAS memutuskan hubungan atau kerjasama politik dengan Bersatu dan kenyataan rasmi menyusuli tindakan itu. Kenyataan media PAS Pusat yang dimaksudkan dikeluarkan Presiden Hadi Awang. Ia dimulakan dengan memberitahu bahawa mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada Isnin 8 Jun 2026 telah membuat beberapa ketetapan. Enam ketetapan dihuraikan.
Yang saya baca berulang kali seperti disebut tadi ialah ketetapan satu yang berbunyi 'memperakukan keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 2 Jun 2026 berhubung pertimbangan dasar, hukum dan maslahah kerjasama politik PAS atas prinsip penyatuan ummah'. Kata kuncinya 'maslahah kerjasama politik PAS atas prinsip penyatuan ummah'. Saya mengaku baru tahu 'maslahah' rupanya bermakna 'sesuatu yang berfaedah, berguna atau mendatangkan kebaikan'.
Ketetapan dua pula memaklumkan penelitian mengenai kedudukan dan hala tuju kerjasama politik PAS-Bersatu berdasarkan laporan, kajian, dan penilaian semasa. Seterusnya ketetapan tiga mengumumkan menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu. Pada pendapat saya, dalam melaungkan penyatuan ummah, PAS pada masa sama memutuskan hubungan dengan Bersatu. Ummah dalam konteks ini merujuk orang berbangsa Melayu beragama Islam.
Jadi, dalam mahu menyatukan ummah yakni orang Melayu Islam, PAS hentikan hubungan (politik) dengan Bersatu, parti majoriti orang Melayu beragama Islam. Setahu saya 'penyatuan' merujuk perihal atau proses menyatukan, menggabung atau mempertemukan sesuatu terpisah menjadi satu kesatuan utuh. Istilah ini (yakni penyatuan) sangat berkait rapat dalam konteks politik (penyatuan parti/ummah) serta integrasi sosial (penyatuan kaum di Malaysia). Itu hasil carian dalam talian.
Maka, jika bertindak atas prinsip penyatuan ummah atau mahu menyatukan ummah, bukankah tindakan atau langkah yang mesti diambil ialah berbaik-baik serta merapatkan hubungan? Bukan bermusuh-musuh sambil menjauhkan, merenggang, apa lagi memutuskan hubungan. Tak begitu? Ini mengikut definisi 'penyatuan'. Tak tahu pula setelah saya membuat carian atas talian, definisi itu sudah berubah? Diganti dengan definisi baharu bertentangan definisi asal?
Berbalik kenyataan media PAS yang disebut tadi, ketetapan empat menyebut perlu meneroka suatu bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya demi penyatuan ummah (suka benar PAS dengan istilah ini) bagi menghadapi PRN dan PRU16. Ertinya, PAS putus hubungan dengan Bersatu tetapi mahu bentuk pakatan menghadapi pilihan raya mendatang 'demi perpaduan ummah'. Bagi saya, 'penyatuan ummah' yang mahu diadakan bukan sesuatu yang total kerana ada yang dipinggirkan (yakni Bersatu). Yang PAS minat bermesraan, umum boleh jangkakan.
Apa pun, realitinya PAS putus hubungan dengan Bersatu. Kata Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari, partinya dan Bersatu dah tak boleh duduk bawah payung yang sama. Payung ertinya Perikatan Nasional (PN). Berkata pula Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang partinya mahu terus kekal dalam PN. Jelas, bagi Bersatu, putus hubungan dan duduk dalam PN adalah 'two different matters'. Lagi pun, bak kata Muhyiddin, Bersatu adalah parti pengasas PN. 'The only way out' ialah salah satu parti keluar PN. Atau kedua-dua keluar dan tamatlah riwayat PN. Maaf, saya tidak mengambil kira kedudukan Gerakan dan MIPP yang juga komponen PN.
PAS dewasa ini sudah menguasai hampir keseluruhan PN. Jawatan tertinggi dipegang orang PAS. Termasuk jawatan pengerusi dipegang Ahmad Samsuri Mokhtar. Apa jadi dengan Dr Sam? Di mana beliau? Seharusnya pengerusi PN kena main peranan besar dalam isu ini. Sekurang-kurangnya bersuara, beri pendapat dan pandangan, dan ambil tindakan. Malangnya, semua itu tidak terjadi. Malah, soal PAS 'tak kawan' Bersatu pun suara Samsuri tidak kedengaran. Selain Hadi, yang banyak bercakap ialah Takiyuddin Hassan, setiausaha agung PAS dan PN. Juga Fadhli yang selalu lantang. Padahal, Samsuri dalam PAS pegang jawatan naib presiden dan semasa dilantik pengerusi PN diuar-uarkan sebagai calon perdana menteri untuk PN.
Bekas pengarang Harakah, Syed Putra Ahmad, berkata sebagai tokoh disebut calon perdana menteri, 'optik' yang bermain di ruang awam jelas tidak menyebelahi Samsuri. Saya tidak cadang huraikan tetapi bangkit persoalan berkait layanan kepada Samsuri dan wajarkah dilayani sebegitu sedangkan beliau juga dianggap anak emas presiden atau saya yang salah anggap?



