DAP Menang Kuasa, Gagal Rebut Hati Melayu?
DAP Menang Kuasa, Gagal Rebut Hati Melayu?

DAP mungkin sudah mencapai sebahagian besar impian politik yang diperjuangkan selama lebih lima dekad. Daripada sebuah parti pembangkang yang sering berdepan tekanan politik, ia kini menjadi antara tonggak utama kerajaan persekutuan. Namun, di sebalik kejayaan itu, satu persoalan masih membelenggu parti tersebut: mengapa DAP masih sukar mendapat penerimaan lebih luas, khususnya dalam kalangan sebahagian besar pengundi Melayu?

Kemenangan Pilihan Raya Tidak Cukup

Pada PRU15, DAP memenangi 40 kerusi Parlimen, menjadikannya parti kedua terbesar di Dewan Rakyat dan antara komponen utama kerajaan perpaduan. Dari sudut pengaruh politik, kedudukan parti itu tidak lagi boleh dipandang ringan. Bagaimanapun, jumlah kerusi tidak semestinya menggambarkan tahap penerimaan. Kekuatan DAP masih banyak tertumpu di kawasan bandar dan kubu tradisinya, manakala di sebahagian kawasan luar bandar serta dalam kalangan pengundi Melayu, parti itu masih berdepan cabaran besar untuk membina keyakinan.

Selama bertahun-tahun, DAP dibayangi tuduhan sebagai parti cauvinis atau rasis yang hanya memperjuangkan kepentingan satu kaum. DAP menolak dakwaan itu dan menegaskan perjuangannya berasaskan demokrasi sosial, kesamarataan serta politik berbilang kaum. Bagaimanapun, penafian sahaja jarang mencukupi untuk mengubah tanggapan rakyat. Sebahagian persepsi terhadap DAP sememangnya dibentuk melalui naratif politik yang dimainkan pesaingnya sejak sekian lama. Tetapi pada masa sama, parti itu juga perlu mengakui kelemahan dalam pendekatan komunikasi dan usaha mendekati kelompok Melayu turut menyumbang kepada jurang keyakinan tersebut.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Persepsi dan Realiti

Dalam politik, sesuatu persepsi mungkin tidak sentiasa adil, tetapi ia tetap memberi kesan terhadap keputusan pengundi. Walaupun DAP mempunyai pemimpin daripada pelbagai kaum, imej parti itu masih sering dikaitkan dengan masyarakat Cina kerana sejarah perjuangan, komposisi keahlian serta kawasan tradisi yang dimenanginya. Hakikat itu mungkin tidak selesa untuk diterima, tetapi dalam politik, bagaimana rakyat melihat sesebuah parti sama penting dengan bagaimana parti itu melihat dirinya sendiri.

Ketika menjadi pembangkang, DAP berjaya membina sokongan melalui isu integriti, antirasuah, reformasi institusi dan tuntutan terhadap tadbir urus yang lebih baik. Pendekatan itu mendapat sambutan, terutama daripada pengundi bandar yang melihat DAP sebagai simbol perubahan. Tetapi apabila berada dalam kerajaan, ukuran terhadap parti itu berubah. Rakyat tidak lagi hanya melihat keberanian bersuara atau kemampuan mengkritik kerajaan. Mereka mahu melihat kemampuan mentadbir, memahami keresahan semua kelompok masyarakat dan menghasilkan dasar yang memberi kesan kepada kehidupan harian.

Antara kelemahan yang sering diperkatakan adalah DAP kadangkala lebih banyak mempertahankan dirinya daripada tuduhan dilemparkan, berbanding menunjukkan secara konsisten bagaimana dasar dan tindakannya memberi manfaat kepada kelompok yang selama ini ragu terhadapnya. Dalam masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia, membina kepercayaan memerlukan lebih daripada sekadar menjelaskan sesuatu persepsi itu salah. Ia memerlukan kehadiran, pendekatan dan hubungan yang berterusan.

Cabaran Mendapatkan Kepercayaan Melayu

Kedudukan sebagai parti kerajaan turut membawa cabaran baharu. Sebarang kelemahan pentadbiran kerajaan hari ini bukan lagi hanya dikaitkan dengan parti dominan, tetapi turut dipikul bersama oleh semua parti dalam Kabinet, termasuk DAP. Keputusan beberapa pilihan raya kebelakangan ini wajar menjadi peringatan. Kekalahan DAP di PRN Johor serta kegagalannya memenangi kerusi ditandingi di Sabah menunjukkan kekuatan tradisional parti itu tidak semestinya menjamin penerimaan lebih luas dalam landskap politik yang berubah. Sokongan kukuh di kawasan tertentu tidak bermakna sesebuah parti sudah berjaya menjadi parti nasional.

Sesebuah parti hanya benar-benar boleh dianggap mewakili semua rakyat apabila ia mampu mendapatkan kepercayaan daripada kelompok yang suatu ketika dahulu paling sukar menerimanya. Kepimpinan DAP sendiri nampaknya menyedari cabaran itu. Menurut Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, parti itu akan menilai sama ada pemimpinnya perlu terus memegang jawatan dalam kerajaan sebagai sebahagian daripada proses penilaian selepas pilihan raya, namun menegaskan sokongan DAP terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak berubah.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga

Perubahan Pendekatan Diperlukan

Persoalan utama bukan sekadar sama ada pemimpin DAP perlu kekal atau berundur daripada jawatan kerajaan. Perkara yang lebih besar adalah sama ada DAP bersedia melakukan perubahan terhadap pendekatan politiknya untuk mendapatkan kepercayaan yang lebih luas. Bekas pemimpin DAP, Ong Kian Ming, turut mengingatkan parti itu perlu melakukan pembaharuan bagi menarik sokongan lebih meluas atau kembali bergantung kepada sokongan tradisional pengundi Cina jika kemerosotan sokongan berterusan pada PRU16.

Peringatan itu penting kerana kekuatan sesebuah parti tidak hanya diukur berdasarkan jumlah kerusi dimenangi, tetapi sejauh mana ia mampu diterima merentasi sempadan politik dan kelompok masyarakat. DAP sudah membuktikan ia mampu mendapatkan kuasa. Itu bukan lagi persoalan. Cabaran sebenar adalah sama ada DAP mampu menukar kuasa tersebut kepada keyakinan rakyat yang lebih menyeluruh. Jika mahu dilihat sebagai parti nasional, DAP perlu terus membuktikan melalui tindakan ia bukan sekadar parti untuk kawasan bandar atau kelompok tertentu. Ia perlu lebih hadir di kawasan yang selama ini jauh daripadanya, lebih memahami keresahan masyarakat Melayu dan menunjukkan dasar dibawanya memberi manfaat kepada semua rakyat.

Politik akhirnya bukan sekadar soal memenangi kerusi, tetapi memenangi keyakinan. DAP sudah membuktikan ia mampu menjadi parti yang berkuasa. Persoalannya sekarang, adakah ia mampu menjadi parti yang benar-benar dipercayai oleh mereka yang selama ini paling sukar menerimanya? Penulis ialah timbalan pengarang Meja Berita Bahasa Melayu FMT. Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.