PN perlu agenda nasional tangani jurang pendidikan dan kerja graduan
PN perlu agenda nasional tangani jurang pendidikan, kerja graduan

Seorang pemimpin PAS menggesa Perikatan Nasional (PN) merangka agenda nasional yang lebih jelas bagi menangani kelemahan pendidikan, ketidakpadanan pekerjaan graduan dan kehilangan tenaga mahir dalam sektor kesihatan awam.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Haim Hilman Abdullah berkata gabungan itu perlu tampil dengan tawaran dasar menyeluruh meliputi reformasi sekolah, TVET, universiti, kesihatan serta penguatkuasaan ekonomi.

Cabaran dalam pembangunan modal insan

Menurut bekas naib canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) itu, agenda berkenaan penting susulan beberapa petunjuk antarabangsa dan domestik yang menunjukkan Malaysia masih berdepan cabaran besar dalam pembangunan modal insan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Keputusan PISA 2022 menunjukkan pelajar Malaysia masih berada di bawah purata OECD dalam Matematik, Sains dan Bacaan. Hanya 41% pelajar Malaysia mencapai tahap minimum kecekapan Matematik berbanding purata OECD sebanyak 69%,” katanya dalam kenyataan.

Haim berkata skor Matematik Malaysia ialah 409 berbanding purata OECD 472, manakala skor Bacaan pula 388 berbanding purata OECD 476. Katanya, skor pemikiran kreatif pelajar Malaysia juga hanya 25 daripada 60 berbanding purata OECD 33.

Reformasi pendidikan asas

Sehubungan itu, beliau berkata PN boleh menawarkan reformasi pendidikan asas yang tidak terlalu bergantung kepada hafalan, sebaliknya menumpukan kemahiran masa depan seperti kecerdasan buatan (AI), pengaturcaraan, data dan literasi digital.

Beliau turut mencadangkan program pemulihan literasi dan numerasi nasional bagi murid tercicir, peluasan sekolah TVET berprestij setanding sekolah berasrama penuh, serta penekanan semula terhadap akhlak, disiplin dan patriotisme. Katanya, penilaian sekolah juga tidak seharusnya hanya bergantung kepada keputusan peperiksaan, tetapi perlu mengambil kira tahap penguasaan kemahiran murid.

Isu ketidakpadanan pekerjaan graduan

Mengenai pendidikan tinggi, Haim berkata Malaysia berdepan isu ketidakpadanan pekerjaan apabila sebahagian graduan bekerja dalam bidang tidak setara dengan kelayakan mereka. Katanya, walaupun negara mempunyai hampir enam juta graduan, seramai 165,900 graduan masih menganggur pada 2024, manakala kira-kira 1.6 juta bekerja dalam pekerjaan yang tidak memerlukan kelayakan dimiliki.

“Ini bermakna negara membelanjakan berbilion ringgit untuk pendidikan tinggi, tetapi sebahagian besar bakat tidak digunakan secara optimum,” katanya, sambil menambah ramai pelajar B40 turut berdepan kesukaran menyediakan yuran pendaftaran universiti.

Beliau mencadangkan pelaksanaan konsep “Tiada Pelajar Tercicir Kerana Miskin”, audit nasional berkala setiap lima tahun ke atas program akademik IPTA dan IPTS, serta kajian memendekkan program ijazah tertentu daripada empat tahun kepada tiga tahun. Tambahnya, pelaburan pendidikan tinggi juga perlu lebih tertumpu kepada sektor strategik seperti AI, semikonduktor, robotik, keselamatan siber dan teknologi makanan, selain mewajibkan latihan industri berbayar.

Pelan untuk sektor kesihatan

Dalam sektor kesihatan, Haim yang juga Adun Jitra dan exco Kedah, berkata PN perlu mengemukakan pelan mengekalkan doktor dan jururawat, menaikkan elaun kritikal, mempercepat pembinaan fasiliti kesihatan baharu.

“Sistem awam berdepan tekanan apabila 705 doktor dan 1,394 jururawat berpengalaman dilaporkan meletak jawatan daripada skim Kementerian Kesihatan antara 2022 hingga 2024, ketika hospital kerajaan terus berdepan kesesakan dan tempoh menunggu panjang,” katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga