NACCOL: Dari Putrajaya ke Dapur Rakyat, Sebuah Jurang yang Perlu Dijambatani
Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bukan sekadar merangka dasar, tetapi memastikan dalam dunia yang semakin mahal ini, rakyat tidak dibiarkan menghadapinya sendirian. Petang itu, suasana tidak terlalu sibuk di warung kecil milik Pak Man, yang terletak di pinggir bandar berhampiran kompleks penjara. Bekas warden itu tidak pernah benar-benar meninggalkan dunia lamanya—cuma peranannya berubah. Jika dahulu dia menjaga disiplin di sebalik tembok tinggi, kini dia menjaga bara dapur dan aliran pelanggan yang datang silih berganti.
Warung Pak Man: Simbol Adaptasi dan Cabaran
Warungnya sederhana, tetapi hidup. Ramai pelanggan tetapnya terdiri daripada kakitangan penjara—pegawai, warden, dan staf sokongan—yang datang bukan sahaja untuk makan, tetapi untuk berbual, menghela nafas, dan melepaskan tekanan selepas seharian bertugas. Dengan bantuan anak perempuannya, warung Pak Man kini melangkah setapak ke hadapan. Menu yang sama—mi goreng panas, lauk kampung, nasi campur—tidak lagi hanya bergantung kepada pelanggan yang datang secara fizikal. Ia kini tersenarai dalam platform e-panggilan seperti Grab dan Foodpanda.
Bunyi notifikasi pesanan berselang-seli dengan bunyi sudip dan kuali. Ada waktu tertentu, pesanan datang bertali arus—bukan sahaja dari kawasan sekitar, tetapi dari taman-taman perumahan berhampiran. Dunia Pak Man berubah perlahan-lahan, menyesuaikan diri dengan zaman digital. Namun dalam perubahan itu, satu perkara tetap sama—harga bahan mentah yang semakin tidak menentu dan sukar dijangka.
Perbualan Tentang Harga: Realiti Seharian Rakyat
Petang itu, seperti biasa, perbualan di warung berkisar tentang harga. “Ayam naik lagi minggu ni,” kata seorang pegawai penjara sambil menggeleng. “Minyak masak pun tak stabil,” balas rakannya. Ada yang berseloroh, ada yang sekadar menghela nafas panjang. Pak Man hanya tersenyum nipis, tangannya terus bekerja tanpa henti. Dia tidak banyak bercakap, tetapi setiap kenaikan itu dirasainya—pada setiap bahan yang dibeli, pada setiap pinggan makanan yang dihidangkan, dan pada setiap keputusan kecil yang akhirnya memberi kesan besar.
Saya yang duduk di satu sudut cuba mencelah, “Pak Man pernah dengar tentang NACCOL?” Dia berhenti seketika, memandang saya dengan wajah sedikit keliru. “Apa tu?” soalnya ringkas. Meja berhampiran turut senyap. Ada yang menggeleng, ada yang sekadar diam. Pada saat itu, sebagai seorang yang mengikuti penyelidikan dasar dan isu kos sara hidup, saya terasa satu jurang yang nyata—antara apa yang dibincangkan di Putrajaya, dan apa yang difahami di dapur rakyat.
NACCOL: Dasar di Peringkat Tertinggi
Hakikatnya, Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bukan sekadar satu istilah dalam dokumen rasmi. Ia dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan menghimpunkan pelbagai kementerian, agensi serta pihak berkepentingan untuk menyelaras usaha menangani kos sara hidup secara menyeluruh. Ini menunjukkan bahawa isu harga barang, bekalan makanan dan subsidi bukan lagi isu pinggiran, tetapi telah diangkat ke peringkat tertinggi negara.
Namun begitu, apa yang berlaku di meja mesyuarat tidak semestinya sampai dengan jelas ke warung seperti milik Pak Man. Bagi mereka, NACCOL bukan sesuatu yang dibincangkan—tetapi sesuatu yang, jika berfungsi dengan baik, akan dirasai. Di sinilah wujudnya jurang yang sering kita abaikan—jurang antara dasar dan pengalaman hidup.
Subsidi Bersasar: Dari Teori ke Praktikal
Dalam NACCOL, antara perkara penting yang dibincangkan ialah keperluan untuk mengubah pendekatan subsidi. Selama ini, subsidi pukal sering memberi manfaat bukan sahaja kepada golongan yang memerlukan, tetapi juga kepada mereka yang tidak sepatutnya. Ketidakseimbangan ini akhirnya membawa kepada usaha memperkenalkan subsidi bersasar—supaya bantuan benar-benar sampai kepada B40, M40, dan peniaga kecil seperti Pak Man.
Bagi Pak Man, istilah ini mungkin tidak membawa makna yang besar. Tetapi kesannya amat dekat. Jika kos bahan mentah dapat dikawal, jika harga tidak melonjak secara mendadak, maka dia tidak perlu terlalu kerap mengubah harga jualan. Dalam dunia e-hailing yang kompetitif, pelanggan boleh memilih dengan satu sentuhan skrin. Harga yang sedikit tinggi boleh menyebabkan pesanan beralih ke tempat lain. Maka kestabilan harga bukan sekadar soal ekonomi—ia soal survival.
Fokus kepada Makanan: Keutamaan NACCOL
Perkembangan terkini menunjukkan bahawa NACCOL kini bergerak lebih fokus. Penubuhan jawatankuasa khas yang memberi tumpuan kepada harga makanan, dipengerusikan oleh Syed Abu Hussin Ahli Parlimen Bukit Gantang, mencerminkan satu perubahan pendekatan yang lebih tajam. Isu makanan tidak lagi dilihat sebagai sebahagian daripada masalah besar, tetapi sebagai keutamaan yang perlu ditangani secara khusus.
Fokus kepada barangan asas seperti beras, ayam dan minyak masak menunjukkan bahawa perhatian diberikan kepada perkara yang paling dekat dengan kehidupan rakyat. Ini bukan sekadar strategi ekonomi, tetapi satu pengakuan bahawa dapur rakyat adalah medan pertama yang perlu dijaga. Jika langkah ini berhasil, kesannya tidak akan hanya muncul dalam laporan, tetapi akan terasa di tempat seperti warung Pak Man—dalam bentuk harga yang lebih stabil dan tekanan yang sedikit berkurang.
Hidup yang Terus Berjalan Tanpa Menunggu Dasar
Di warung itu, kehidupan berjalan tanpa menunggu dasar diumumkan. Seorang kakitangan penjara makan dengan cepat sebelum kembali bertugas. Seorang anak sekolah membeli kuih sambil mengira baki duit di tangan. Seorang suri rumah membuat pesanan melalui aplikasi kerana masa tidak mengizinkan untuk keluar. Semua ini berlaku dalam satu ruang kecil yang mencerminkan realiti yang lebih besar.
Mereka tidak bercakap tentang dasar, tetapi mereka merasai kesannya. Setiap kenaikan kecil akhirnya menjadi beban besar. Setiap perubahan harga memaksa mereka membuat pilihan—apa yang perlu dibeli, apa yang boleh dikurangkan, apa yang perlu ditangguhkan. Hidup tidak menunggu dasar menjadi sempurna.
Harapan dan Kefahaman: Cabaran yang Berterusan
Sebagai penyelidik, saya melihat satu cabaran yang masih belum selesai—bagaimana dasar ini difahami oleh rakyat. Pak Man tidak memerlukan istilah yang kompleks, tetapi dia berhak untuk tahu bahawa ada usaha di peringkat tertinggi yang sedang cuba meringankan bebannya. Sebelum saya beredar petang itu, Pak Man sempat berkata perlahan sambil menyusun pinggan, “Kalau betul ada usaha macam tu…harap jadi la. Sekarang semua kena kira betul-betul. Nak jual pun fikir, nak beli pun fikir.”
Dalam ayat yang sederhana itu, ada realiti yang tidak boleh disangkal—hidup semakin mahal, dan setiap keputusan semakin berat. Sambil melangkah ke kereta, saya terfikir sejenak—bilakah kali terakhir saya membayar harga runcit petrol tanpa subsidi. Saya akur – sudah begitu lama! Dan mungkin, di situlah pentingnya peranan NACCOL—bukan sekadar merangka dasar, tetapi memastikan dalam dunia yang semakin mahal ini, rakyat tidak dibiarkan menghadapinya sendirian.



