PAS Johor hanya buat andaian jika PN terbubar, kata Iskandar
PAS Johor hanya buat andaian jika PN terbubar

PETALING JAYA: Cadangan PAS Johor untuk membentuk jajaran politik baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hanyalah bersifat persediaan sekiranya berlaku perubahan dalam Perikatan Nasional (PN), kata Bendahari Agung PAS, Iskandar Abdul Samad.

Beliau menegaskan bahawa setakat ini PAS masih kekal bersama PN dan tiada sebab untuk parti itu meninggalkan gabungan berkenaan, walaupun hubungan politik dengan Bersatu telah diputuskan di peringkat pusat.

"Buat masa ini PAS masih berada dalam PN. Ahmad Samsuri Mokhtar masih Pengerusi PN dan tiada sebab PAS keluar daripada PN walaupun putus dengan Bersatu. PAS Johor hanya membuat andaian mengenai tindakan selanjutnya jika PN terbubar atau PAS keluar PN," katanya kepada FMT.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Iskandar mengulas kenyataan PAS Johor bahawa parti itu tidak akan bertanding secara solo, sebaliknya akan membina jajaran politik baharu bagi menghadapi PRN Johor. Semalam, Pesuruhjaya PAS Johor, Mahfodz Mohamed, berkata jajaran politik baharu itu dirancang susulan keputusan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat memutuskan hubungan dengan Bersatu.

Menurut Mahfodz, antara parti yang disebut berpotensi menjalin kerjasama pilihan raya dengan PAS ialah Pejuang, Putra, Berjasa dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman). Beliau bagaimanapun menjelaskan kerjasama itu hanya berbentuk persefahaman pilihan raya, bukan gabungan politik rasmi, kerana pembentukan gabungan baharu memerlukan masa dan tidak sempat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Mengulas lanjut, Iskandar yakin sokongan pengundi Melayu yang sebelum ini diberikan kepada PN akan terus bersama PAS sekiranya berlaku perubahan dalam landskap politik gabungan itu. Katanya, PAS merupakan teras utama PN dan penyumbang terbesar kepada sokongan yang diterima gabungan berkenaan dalam pilihan raya sebelum ini.

"Apa sahaja pakatan atau gabungan yang dianggotai PAS akan dapat menarik sokongan rakyat. Undi yang PN dapat pada pilihan raya sebelum ini tidak akan berpecah. Dalam politik, apa sahaja boleh terjadi dan PAS bersedia berhadapan dengan apa sahaja kemungkinan," katanya.

Ditanya sama ada pembentukan jajaran politik baharu itu akan dibincangkan di peringkat parti, Iskandar berkata perkara berkenaan belum dibincangkan secara rasmi. "Belum bincang lagi. Sekarang kita masih PN. Mungkin selepas ini," katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga